Tentera Myanmar sekat Facebook selepas rampas kuasa

Perkhidmatan Facebook untuk sebahagian penduduk di Myanmar disekat beberapa hari selepas pihak tentera melakukan rampasan kuasa di negara itu. - Foto: AFP
Perkhidmatan Facebook untuk sebahagian penduduk di Myanmar disekat beberapa hari selepas pihak tentera melakukan rampasan kuasa di negara itu. - Foto: AFP
A
A
A

YANGON - Facebook pada Khamis menyatakan perkhidmatannya disekat di Myanmar beberapa hari selepas pihak tentera melancarkan rampasan kuasa ke atas kerajaan awam yang dipilih oleh rakyat.

"Kami menyedari bahawa akses ke Facebook kini terganggu untuk sebahagian individu," kata seorang jurucakap laman sosial itu kepada AFP.

"Kami menggesa pihak berkuasa untuk memulihkan perhubungan itu bagi membolehkan penduduk di Myanmar boleh berkomunikasi dengan keluarga dan rakan mereka serta mendapatkan akses tentang maklumat penting," ujarnya.

Media sosial itu amat popular di negara tersebut dan ia merupakan salah satu alat untuk berkomunikasi. Ia juga kerap kali digunakan oleh kementerian-kementerian kerajaan untuk mengeluarkan kenyataan.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memantau perkhidmatan internet yang terputus di seluruh dunia iaitu NetBlocks berkata, penyedia perkhidmatan di Myanmar menyekat atau menghalang akses ke Facebook, Instagram dan WhatsApp.

Instagram dan WhatsApp juga dimiliki oleh Facebook.

"Produk Facebook yang disediakan oleh pelbagai penyedia perkhidmatan internet kini disekat di Myanmar ketika pihak pengendali (perkhidmatan itu) mematuhi arahan sekatan," kata pertubuhan itu.

Pada Isnin lalu, tentera Myanmar menahan pemimpin Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD), Aung San Suu Kyi dan beberapa pemimpin politik kanan serta bertindak melakukan rampasan kuasa berikutan dakwaan berlaku penipuan dalam pilihan raya umum negara itu yang diadakan pada lewat tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

NLD memperoleh kemenangan yang besar dalam pilihan raya itu. - Agensi