Kedah benar bazar Ramadan, Aidilfitri di daerah PKP

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kegiatan ekonomi seperti bazar Ramadan dan Aidilfitri dibenarkan beroperasi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang diperketatkan di lima daerah di Kedah yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, aktiviti ekonomi lain yang dibenarkan beroperasi termasuk pasar raya di lima daerah terbabit, iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim.

"Justeru peniaga di dua bazar berkenaan boleh meneruskan perniagaan seperti biasa dengan mematuhi SOP diperketatkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Kita memahami keluhan peniaga yang telah membuat pelaburan besar dalam perniagaan mereka, ada yang mengeluarkan kos puluhan ribu untuk berniaga di bazar Aidilfitri, saya harap dengan kelonggaran yang diberikan ini, peniaga dan pengunjung sama-sama amalkan SOP untuk kebaikan bersama,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Muhammad Sanusi berkata, keputusan terbaharu itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) petang Isnin yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara sidang video.

“Ini adalah keputusan penting untuk lima daerah yang dikenakan PKP di Kedah. Untuk peniaga di bazar Aidilfitri dibenarkan beroperasi bermula 10 pagi hingga 10 malam, manakala bazar Ramadan bermula 3 petang hingga 8 malam,” katanya.

Menurutnya, antara syarat yang diperketatkan adalah pembersihan dan nyah kuman perlu dilakukan setiap hari di bazar berkenaan.

“Penganjur perlu memastikan kawalan keluar masuk pelanggan ke premis dengan penjarakan fizikal satu meter, selain perlu menggunakan kaedah nombor giliran untuk mengawal jumlah pengunjung pada satu-satu masa. Bagi Bazar Ramadan, kanak-kanak di bawah 12 tahun tidak dibenarkan masuk dan pengunjung diminta beratur dengan jarak satu meter yang ditandakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, katanya, pelanggan hanya perlu menjalani saringan suhu badan di pintu masuk sahaja dan bukan di setiap gerai di Bazar.

“Peniaga dan pelanggan yang mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius tidak dibenarkan memasuki premis. Penganjur juga bertanggungjawab mengehadkan bilangan pengunjung ke bazar Ramadan atau Aidilfitri mengikut bilangan gerai dengan kawalan keselamatan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Menurutnya, pemantauan pematuhan SOP MKN dan Kesihatan Makanan akan dilakukan secara berterusan dan mana-mana gerai atau bazar yang gagal mematuhi SOP akan dikenakan tindakan tegas termasuk arahan penutupan premis.

“Kita tidak akan kompromi lagi, setelah berkali-kali diingatkan agar patuhi SOP dan diberikan kelonggaran sempena kedatangan Syawal yang akan tiba seminggu lagi. Saya harap semua pihak benar-benar ambil perhatian,” katanya.

Sebanyak lima daripada 12 daerah di seluruh Kedah dikenakan PKP bermula 1 hingga 14 Mei ini. Ia susulan dalam tempoh 14 hari lalu, 709 kes aktif direkodkan di lima daerah terbabit melibatkan beberapa kluster yang menyumbang kepada peningkatan kes.

Bagaimanapun, Kedah masih lagi kekal sebagai negeri berstatus PKP Pemulihan (PKPP) sehingga 17 Mei depan melibatkan tujuh daerah selebihnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!