Cuepacs sambut baik pendekatan diambil KSN

Iklan
Adnan Mat

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik pendekatan yang diambil oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk semua ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan bagi memastikan program penjanaan semula ekonomi negara pasca-Covid-19 dapat dilaksanakan mengikut perancangan.

Presidennya, Adnan Mat berkata, Cuepacs berpandangan bahawa penetapan KPI tersebut bukanlah bermaksud pentadbiran kerajaan ketika ini gagal melaksanakan program sebaliknya boleh dijadikan panduan kepada semua kementerian dan jabatan bagi memastikan kejayaan pelaksanaan program.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun, kejayaan sesuatu program bukan sahaja dinilai dari segi kejayaan melaksanakannya mengikut tempoh ditetapkan, tetapi perlu memberi impak ekonomi kepada rakyat dan negara.

"Penetapan KPI merupakan satu pendekatan yang baik bagi membolehkan setiap kementerian dan jabatan mengenal pasti semula kemajuan semasa setiap program,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: KPI gerakkan ekonomi pasca-Covid19

Mengulas lanjut, Adnan berkata, sekiranya usaha itu masih pada tahap yang tidak memuaskan, maka sesuatu usaha tambahan boleh dilakukan.

Iklan

Katanya, jika kemajuan program itu memuaskan, ia juga boleh dijadikan panduan bagi memastikan tiada perkara yang tertinggal.

"Justeru, Cuepacs berharap semua pihak sama ada di peringkat tertinggi pengurusan atau kumpulan pelaksana menjadikan penetapan KPI sebagai satu perkara yang positif.

"Berikan seluruh komitmen untuk menjayakan aktiviti dan program yang bertujuan mensejahterakan semula kehidupan rakyat dan negara sama ada dari segi ekonomi atau sosial,” jelasnya.

Dalam pada itu, Adnan berkata, Cuepacs turut berharap hal kebajikan penjawat awam tidak dipinggirkan dalam keghairahan kerajaan yang mahu semua program dan projek dilaksanakan segera.

"Cuepacs tidak mahu isu mengenai kebajikan penjawat awam diabaikan walaupun Cuepacs sedar bahawa mereka tetap akan melaksanakan tanggungjawab yang diberikan sebaiknya,” kata beliau.