GEORGETOWN - Seorang kerani pentadbiran didenda RM30,000 kerana mengabaikan dengan menganiaya dua ekor anjing peliharaannya di kediaman ibu mertuanya di Tanjung Bungah pada Mac tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Georgetown, Mazdi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh Oh Ju Lian, 40, selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah melakukan kesalahan berkenaan pada jam 3 petang, 4 Mac 2019.
Mazdi turut mengarahkan seekor anjing yang berjaya diselamatkan dilucutkan hak daripada OKS kepada Jabatan Veterinar.
Ju Lian bakal berdepan hukuman penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Ju Lian didakwa dengan secara tidak munasabah menyebabkan dua ekor anjing kepunyaannya berada dalam kesakitan, melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan salah seekor anjingnya mati sementara seekor lagi dibiarkan dalam keadaan lemah; ketakutan; tidak bermaya, dipenuhi kutu dan amat kurus.
OKS dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 29 akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Ju Lian dalam rayuannya sebelum itu memberitahu mahkamah pendapatannya hanya RM2,000 sebulan dan menjaga dua anak selain suami yang baru bekerja dan mempunyai penyakit diabetes.
Ju Lian mengaku kedua-dua anjing itu miliknya namun diletakkan di rumah ibu mertuanya sebagai peneman berikutan ibu mertuanya menghidap penyakit berjangkit.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Roziman Awang Tahrin meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kes tersebut mengganggu sensitiviti masyarakat.
Menurutnya, OKS juga didapati tanpa belas kasihan menyebabkan penderitaan terhadap haiwan peliharaannya kerana kedua-dua haiwan tersebut dirantai ketika ditemui sepasukan pegawai kebajikan haiwan.