Kerajaan tidak perlu tunduk ugutan pemberhentian kerja: MTUC

Iklan
J SOLOMON

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan supaya tidak tunduk dengan ugutan pemberhentian kerja oleh majikan apabila pindaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 dikuatkuasakan.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata, alasan diberikan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berhubung perkara itu sangat cetek dan ia untuk menafikan hak asasi pekerja memperoleh kemudahan perumahan memuaskan.

Iklan
Iklan

Beliau kesal dengan ugutan sedemikian kerana ia seperti memaksa kerajaan memberi keutamaan terhadap keuntungan syarikat berbanding tanggungjawab menyedia kediaman pekerja yang sesuai.

"Sudah lumrah majikan di Malaysia membuat ugutan sedemikian setiap kali diminta menyumbang untuk kebaikan pekerja sama ada warga tempatan atau migran walau pun mereka sudah mengaut keuntungan lumayan dengan memberikan gaji rendah dan kemudahan terhad,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

"MEF harus berhenti menggunakan taktik tidak beretika seperti ugutan menutup periuk nasi pekerja hanya untuk memaksa kerajaan menangguhkan perundangan yang digubal demi kepentingan pekerja dan ekonomi negara.

"Pindaan akta diluluskan di Parlimen Julai tahun lalu dan majikan diberi masa lebih 12 bulan untuk mematuhi undang-undang baharu itu tetapi kebanyakan majikan mengambil sikap tidak peduli dan acuh tak acuh.

Iklan

"Pada Mei lalu, kerajaan memberikan majikan tambahan tiga bulan untuk mematuhi pindaan akta berkenaan, namun majikan tetap mengambil sikap acuh tak acuh,” katanya.

Tambah Solomon, majikan menerusi MEF kini mendakwa tidak diberikan penerangan atau butiran terperinci mengenai undang-undang terbabit oleh kerajaan selepas seminggu tarikh rasmi penguatkuasaan pindaan akta berkenaan.

"Mereka turut mendakwa terkejut dengan penetapan 1 September sebagai tarikh penguatkuasaan undang-undang yang diluluskan lebih setahun lalu," katanya.

Beliau berkata, Malaysia menanggung risiko membayar harga lebih tinggi jika isu kediaman dan kemudahan pekerja terus diremehkan kerana kos ekonomi yang terpaksa ditanggung adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan dakwaan kerugian yang didakwa MEF.

"Malaysia hari ini masih sarat dengan majikan yang mempunyai rekod buruk di rantau ini. Mereka dikenali sebagai pakar memberi gaji minimum tetapi menafikan hak pekerja dan kesatuan serta amat kedekut dalam menyokong undang-undang propekerja.

"Budaya ini sudah lama bertapak bagi memastikan pengurusan syarikat dan pemegang saham meraih keuntungan setinggi-tingginya manakala hak dan kebajikan pekerja dikurangkan ke tahap minima.

"Pendirian tidak berprinsip MEF terhadap penguatkuasaan Pindaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 hanya menyerlahkan sikap dan minda majikan untuk terus mengeksploitasi dan menganiaya pekerja selagi dibenarkan kerajaan,” katanya.