PHILADELPHIA - Sepasang suami isteri dari Pennsylvania, Amerika Syarikat ibarat menerima durian runtuh selepas disahkan hamil anak kembar empat selepas kira-kira setahun mengambil anak angkat empat beradik tahun lalu.
Maxine and Jake Young mempunyai seorang anak lelaki kandung bernama Henry dilahirkan pada Oktober 2018 sebelum mereka mengambil keputusan menjadi ibu bapa angkat kepada empat beradik pada 20 Disember 2019, laporan Daily Mail.
Pasangan berkenaan teruja mahu hamil seorang lagi anak namun terkejut mendapati Maxine disahkan hamil anak kembar empat.
Bayi yang dilahirkan ketika usia kandungan 32 minggu pada 31 Julai lalu diberi nama Silas Ledger, Theo Alexander, Beck Killian dan Cecilia Hudson.
Bagaimanapun dua daripadanya masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) tetapi kini dalam keadaan baik.
Menurut ibu Jake, ArLette Young, anak dan menantunya itu berkahwin pada Mei 2016 dan sememangnya mahu memiliki keluarga sendiri secepat mungkin.
"Pelbagai cabaran dilalui mereka seperti keguguran dan rawatan kehamilan sebelum dikurniakan anak sulung mereka, Henry,” katanya.
Bagi Maxine pula, dia tidak menyangka dirinya hamil tanpa melalui rawatan kehamilan seperti yang dilakukan sebelum ini malah menganggap kandungan ’empat kali ganda’ itu satu keajaiban dan gembira dikurniakan anak yang ramai dalam sekelip mata.