Skandal tanah Perak, Putra buat laporan SPRM

Iklan
Hamidah (tengah) ketika ditemui media selepas membuat laporan SPRM di Meru Raya hari ini.

IPOH - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan surat tular di media sosial berhubung skandal pemberian tanah yang didakwa mempunyai unsur penyalahgunaan kuasa.

Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman berkata, pendedahan itu dilihat membimbangkan apabila pemberian secara sah itu melibatkan lebih 1,200 hektar tanah di seluruh negeri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kebimbangan itu berasas apabila tanah turut diberikan kepada syarikat yang baharu ditubuhkan hasil semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Difahamkan banyak lagi kelulusan sedang diberi kerajaan Perak kononnya untuk pembangunan ladang hutan tetapi bertujuan mengambil kayu balak sehingga mengakibatkan masalah alam sekitar terutamanya di Hutan Simpan Kledang Saiong yang merupakan kawasan tadahan air.

Iklan

"Ada kelulusan diberikan kepada syarikat yang ditubuhkan pada Ogos 2018 tidak sampai setahun tetapi sudah mendapat tanah seluas 298.4 hektar tanah. Difahamkan ada tender terbuka, bila tender diiklankan dan apakah dasar yang melayakkan sebuah syarikat tanpa pengalaman menguruskan tanah?" katanya ketika ditemui di pejabat SPRM di Meru Raya di sini hari ini.

Putra membuat laporan itu susulan tular surat bertajuk ‘surat karam’ yang memaparkan beberapa projek penerokaan hutan dan pasir yang didakwa diberikan kepada individu yang dikaitkan dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Iklan

Ekoran pendedahan itu, Hamidah berkata, Perak seolah-olah mengadakan ‘jualan murah’ bagi pemberian tanah tanpa had.

"Bagaimana Perak ditadbir? Selalunya keputusan dibuat ada ‘separation of power yang mempunyai ‘executive’, ‘legislative’ dan ‘judicial’ yang bertindak sebagai ‘check and balance’ tetapi saya lihat semua berterabur.

"Lebih membimbangkan ada yang mendakwa ‘Perak on sales’, ‘Perak on cheap sales’ atau ‘Perak on wholesale’ kerana ribuan tanah diberi kepada syarikat tanpa had. Saya bimbang Perak akan tergadai dengan tanah-tanah habis dijual pada harga murah dan tidak berpatutan,” katanya.

Katanya, semua parti politik harus mengambil tanggungjawab dengan apa jua salah laku yang dilakukan kerajaan.

"Surat ini tular melebihi seminggu tetapi tiada parti yang berminat walaupun jelas ada unsur-unsur penyalahgunaan kuasa.

"Perkara tidak harus didiamkan dan SPRM perlu mengambil tindakan dan siasat kerana sudah menjadi kepentingan awam. Kita minta SPRM tidak berkecuali dalam lakukan siasatan walaupun melibatkan individu nombor satu di Perak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan tersebut.