SUBANG JAYA - Brek mengejut sebelum hilang kawalan dipercayai menjadi punca kemalangan kereta yang dipandu peserta program realiti Big Stage 3, Sandra Dianne di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite), di sini Sabtu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shariat berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, kereta jenis Great Wall yang dipandu mangsa berusia 26 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sisi kiri sebuah kereta jenis Nissan Almera di hadapannya.
"Mangsa yang berada di lorong kanan dikatakan menekan brek secara mengejut sebelum keretanya hilang kawalan dan melanggar Nissan Almera terbabit.
"Pelanggaran itu menyebabkan kereta mangsa bergesel dengan sebuah Perodua Axia manakala Nissan Almera itu melanggar sebuah Toyota Vios di hadapannya," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, kemalangan itu turut menyebabkan kereta dipandu peserta Big Stage 3 itu terbalik.
Katanya, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan telah dihantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan manakala seorang lagi wanita berusia 22 tahun yang berada bersama mangsa hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kiri.
"Penyanyi berasal Sabah itu kini masih belum sedarkan diri dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Putrajaya," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.