Tun M akui cadang kumpulan LTTE tidak dilabel pengganas

Iklan
DR MAHATHIR

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui mencadangkan kumpulan Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) tidak dilabelkan sebagai pengganas.

Beliau berkata, cadangan itu dibuat dengan mengambil kira bahawa Kerajaan Sri Lanka sendiri yang pernah bertembung dengan LTTE tidak lagi melabel kumpulan itu sebagai pengganas.

Iklan
Iklan

"Saya tidak tahu apa tujuan surat bertarikh 12 Februari lalu yang saya tulis kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan saya masih Perdana Menteri Malaysia dikeluarkan untuk tatapan umum melainkan untuk memperlihatkan seolah-olah saya penyokong LTTE.

"Saya mencadangkan supaya Tamil Tigers tidak lagi dilabel sebagai terrorists kerana Kerajaan Sri Lanka sendiri, di mana pertembungan mereka dengan Tamil Tigers berlaku, tidak lagi melabel kumpulan dan pengikutnya sebagai terrorists.

Iklan

"Jika label terrorists diguna terhadap Tamil Tigers, maka mereka tidak boleh ikat jamin sementara menunggu perbicaraan,” katanya dalam kenyataan di blognya che.det hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, langkah itu konsisten dengan pendirian pihaknya sebelum pilihan raya 2018 untuk menentang penggunaan beberapa peruntukan undang-undang yang telah disalah guna oleh kerajaan Barisan Nasional untuk menahan mereka yang menentang pencurian yang mereka lakukan menerusi 1MDB dan juga salah guna kuasa.

Iklan

"Mereka yang menentang ini telah ditahan tanpa dibicarakan dan tidak dibenar ikat jamin. Ini satu travesty of justice atau satu ketidakadilan yang melampau.

"Kerana itu saya membuat cadangan di atas kepada Tan Sri Muhyiddin ketika itu,” katanya.

Dalam pada itu, berkenaan dengan penyokong LTTE, beliau dimaklumkan Peguam Negara ketika itu, tidak ada bukti kukuh untuk mendakwa mereka di bawah undang-undang keganasan yang tidak boleh diikat jamin semasa menunggu perbicaraan.

"Saya memberi pendapat saya kepada menteri yang bertanggungjawab berkenaan perkara ini. Pendapat saya bukan suatu arahan.

"Bagi saya, jika kerajaan dan Peguam Negara pada hari ini merasa terdapat bukti yang kukuh untuk mendakwa mereka, seharusnya mereka memulakan proses perundangan yang sewajarnya.

"Saya berharap tidak berlaku kezaliman apabila menegakkan keadilan dan melaksanakan undang-undang,” katanya.