KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur berjaya menurunkan indeks jenayah dengan kadar yang tinggi pada tahun ini iaitu sebanyak 29.9 peratus.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, perbandingan di antara indeks jenayah dan nilai ambang pada tahun lalu turut menunjukkan penurunan sebanyak 8.6 peratus.
"Sebanyak 10,656 kertas siasatan dibuka dengan jumlah pertuduhan sebanyak 4,327 kes sejak awal tahun hingga Ogos lalu.
"Pada tahun lalu, sebanyak 19,034 kertas siasatan dibuka dengan jumlah pertuduhan sebanyak 6,808 kes," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mazlan berkata, pihaknya giat melaksanakan operasi bagi memastikan jenayah di Kuala Lumpur terutama jenayah melibatkan aktiviti perjudian, maksiat, penyeludupan manusia dan migran, kekerasan dan harta benda dapat dibendung serta dibanteras dengan serius.
"Kita telah melaksanakan serbuan bagi Ops Cantas, Ops Dadu, Ops Noda, Ops Lejang dan Ops Pintu," katanya.
Sementara itu, Mazlan berkata, seramai 132 orang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) sejak awal tahun hingga Ogos lalu.
"Tindakan itu bagi memastikan kumpulan-kumpulan penjenayah itu dilumpuhkan," katanya.
Beliau berkata, pihaknya berjaya memberkas 142 penjenayah yang terlibat dengan pelbagai kesalahan jenayah dan dadah dalam Ops Rentap pada tahun ini.
"Beberapa kumpulan jenayah ragut, pecah rumah dan curi telah berjaya ditumpaskan. Seramai 13 penjenayah telah berjaya dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).
Mazlan berkata, Ops Rentap itu juga berjaya menurunkan kadar jenayah ragut di Kuala Lumpur.
"Analisa mendapati jumlah laporan polis melibatkan kes-kes ragut telah menurun dari tahun ke tahun di mana pada tahun 2018 sebanyak 1,154 laporan polis diterima.
"Pada tahun lalu, sebanyak 536 laporan polis, manakala pada tahun ini pula, laporan polis yang diterima adalah sebanyak 255," katanya.