SEMUA kejohanan ragbi tempatan anjuran Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) ditangguhkan sehingga Jun tahun depan susulan pengumuman kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember tahun ini.
Menurut KRM, badan induk ragbi negara itu membuat keputusan menangguh semua kejohanan tempatan anjuran KRM setelah mendapatkan maklum balas persatuan gabungan dan ahli-ahlinya dalam mesyuarat exco pada Jumaat.
"Keputusan yang sukar ini terpaksa diambil atas impak dan ketidakstabilan pandemik Covid -19 kepada ekonomi negara dan negeri-negeri serta ketidaktentuan mengenai pelbagai perkara yang disebabkan oleh pandemik tersebut.
"KRM juga kehilangan potensi penaja-penaja utama disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu akibat Covid19 ini.
"Badan gabungan dan ahli KRM juga menyatakan perkara yang sama dalam usaha mereka untuk mempersiapkan pasukan menyertai sebarang kejohanan dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun jelas kenyataan itu, KRM komited berusaha mencari dana dalam mempersiapkan cabaran skuad kebangsaan 15 sebelah yang bakal beraksi pada Kejuaraan Ragbi Asia yang bermula Mei hingga Jun tahun depan.
"Ini termasuk dana untuk skuad 7 sebelah lelaki dan wanita ke Siri Kejohanan 7 Sebelah Ragbi Asia yang dijadualkan bermula September tahun depan dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN).
"Kebajikan pemain-pemain, pegawai-pegawai dan peminat-peminat ragbi akan terus menjadi keutamaan tertinggi KRM dalam usaha untuk kembali sepenuhnya kepada program pembangunan sukan ragbi di negara ini," katanya.