FGV Holdings Berhad (FGV) akan membayar gaji pekerja ladangnya menggunakan sistem pembayaran elektronik e-dompet menjelang 2021.
Inisiatif di bawah program Perekrutan, Pengekalan dan Penghantaran Pulang (3R) itu dijangka menggalakkan penjimatan sehingga RM1 juta setiap tahun dari segi kos pengendalian gaji.
FGV menyasarkan pelaksanaan penggunaan sistem itu pada suku pertama tahun hadapan melibatkan seluruh sektor perladangannya, termasuk di Sabah dan Sarawak.
Sistem berkenaan telah dimulakan di Gua Musang, Kelantan sejak Februari lalu melibatkan 1,500 pengguna berdaftar di 11 estetnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, FGV terus melakukan pendekatan terbaik dalam menyempurnakan operasi menerusi teknologi baharu.
"Program 3R menunjukkan komitmen kami antara lain pengambilan pekerja asing secara bertanggungjawab, mengukuhkan mekanisme pengaduan, menambah baik sistem pemantauan dan pemulihan serta meningkatkan penglibatan pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Haris berkata, dengan menggunakan aplikasi mudah alih Merchantrade Money di bawah Merchantrade Asia Sdn Bhd, pekerja ladang FGV diberikan kad Visa prabayar dan akaun e-dompet individu yang dapat diakses dengan mudah melalui telefon bimbit.
"Ini membolehkan pekerja melakukan transaksi tanpa tunai, kiriman wang, membeli prabayar mudah alih dan mengeluarkan wang tunai di mesin juruwang automatik (ATM) dan peniaga berdaftar selain membeli barang runcit di kedai tempatan terpilih yang dilantik.
"Kami yakin e-dompet adalah penyelesaian kewangan yang menyeluruh kepada pekerja untuk memudahkan kehidupan seharian mereka, sejajar ke arah masyarakat tanpa tunai,” katanya.
Selain itu, FGV juga komited mengembangkan fungsi produk digital berkenaan kepada e-kehadiran, e-rungutan dan e-pembelajaran.