Remaja OKU bakar rumah nenek selepas 'disuruh' arwah ibu

Iklan
Anggota bomba sedang melakukan pemeriksaan terakhir bagi memastikan api padam sepenuhnya dalam kejadian kebakaran di Kampung Gong Nangka, Gong Tokto Nasek, Kuala Terengganu malam tadi.

KUALA TERENGGANU - Seorang remaja lelaki yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) bertindak membakar rumah neneknya selepas mendakwa kononnya ternampak bayangan arwah ibunya, malam tadi.

Tindakan remaja berusia 14 tahun kira-kira jam 8 malam itu menyebabkan kediaman yang terletak di Kampung Gong Nangka, Gong Tok Nasek di sini musnah 100 peratus.

Iklan
Iklan

Nenek saudaranya, Juriah Salleh, 64, berkata, semasa kejadian cucu saudaranya itu yang mempunyai gangguan mental tinggal bersendirian di rumah tersebut, manakala bapa dan neneknya berada di rumah saudara mereka.

Menurutnya, dia hanya mengetahui insiden berlaku selepas dimaklumkan jiran sebelum bergegas ke lokasi yang tidak jauh dari rumahnya.

Iklan

"Semasa tiba di sana, saya nampak jiran-jiran terdekat sedang sibuk membawa keluar kenderaan masing-masing termasuk tong gas di dalam rumah.

"Dalam masa sama, saya nampak dia (cucu saudara) sedang menangis sambil mengambil gambar rumah yang sedang terbakar itu menggunakan telefon bimbitnya.

Iklan

"Curiga dengan tindakannya itu, saya terus menjerit lalu menarik dia dan bertanya kenapa bakar rumah? Dia hanya jawab arwah ibu yang suruh.

"Saya tanya lagi, bakar guna apa sebelum dia beritahu mancis, kertas, lilin yang diletakkan dalam kain lalu dibakar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Juriah berkata, dia memang tidak terkejut mendengar pengakuan itu kerana cucu saudaranya itu ada masalah mental, malah dia pernah bertindak sedemikian sebelum ini tetapi sempat dihalang.

"Walaupun dia hanya cucu saudara, tetapi saya yang menjaga dan memantaunya setiap hari kerana bapanya juga golongan orang 'istimewa' yang memang tidak mampu untuk menjaganya.

"Saya yakin dia mengalami masalah mental kerana sebelum ini pernah dirujuk ke hospital bagi membuat pemeriksaan mental dan doktor mengesahkan mentalnya tidak 'sihat'," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, panggilan memaklumkan berlakunya kebakaran sebuah rumah diterima pada jam 7.59 malam.

"Dua jentera bomba serta sebuah tangki bersama 19 anggota bergegas ke lokasi dan selepas tiba 10 minit kemudian didapati sebuah rumah kayu separuh kekal terbakar sepenuhnya.

"Kami turut dimaklumkan terdapat seorang mangsa iaitu seorang remaja lelaki berusia 14 tahun tetapi dia sempat menyelamatkan diri," katanya.

Menurutnya, bomba mengambil masa 10 minit untuk mengawal api daripada merebak ke kediaman bersebelahan sebelum padam sepenuhnya 25 minit kemudian bagi memadam sepenuhnya api," katanya.

"Kami berdepan sedikit kesukaran untuk sampai ke lokasi kerana keadaan jalan di sana yang terlalu sempit dan hanya boleh memuatkan sebuah jentera dalam satu masa.

"Bagaimanapun, punca kejadian dan nilai kerugian sebenar masih dalam siasatan," katanya.