KUALA LUMPUR - Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sudah pun menghantar laporan aktiviti haram di Sungai Buloh kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Pengarah JIPS, Datuk Zamri Yahya berkata, laporan siasatan tersebut dihantar pada Jumaat lalu selepas tindakan komprehensif dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh
"Siasatan menyeluruh sudah dilakukan termasuk pemeriksaan pasukan siasatan JIPS di daerah ini selama 10 hari.
"Kita mendapati sejak tahun lalu sebanyak 447 serbuan dilakukan dengan merekodkan 665 individu ditahan atas kesalahan ini," katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurutnya, siasatan aset dan harta pegawai di IPD berkenaan mendapati semua aset dilihat dalam keadaan munasabah.
"Kita mendapati aset dan harta yang dimiliki mereka sesuai dengan pendapatan sebenar seperti rumah dan kenderaan.
"Sebagai contoh Ketua Polis Daerah Sungai Buloh (Superintendan Shafa'aton Abu Bakar) memiliki rumah berharga di bawah RM400,000," katanya.
Pada 8 Ogos lalu, tular satu video disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.
Bagaimanapun, Shafa'aton menafikan dakwaan itu dan berkata, ia satu fitnah yang mendatangkan keresahan dalam kalangan masyarakat serta menjatuhkan reputasi Polis Diraja Malaysia.
Pendedahan dilakukan Asri Janggut itu juga mendapat perhatian Abdul Hamid sebelum mereka berdua bertemu di Bukit Aman dipercayai berbincang mengenai isu sama.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan, pihaknya menahan sembilan pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana dipercayai mengutip dan menerima rasuah secara bulanan bagi melindungi premis perniagaan yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen di sekitar kawasan Sungai Buloh.
SPRM mendedahkan, kumpulan penguat kuasa itu dilaporkan menerima antara RM300 hingga RM3,500 setiap bulan bagi melindungi sebuah premis di kawasan itu.