Zahidi, Abdul Rahim didakwa buli siber terhadap Veveonah

Iklan
Hannah menyelar tindakan dua timbalan menteri yang melakukan buli siber terhadap Veveonah di Facebooknya hari ini.

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menyelar tindakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri yang mempersoal kredibiliti video tular milik seorang pelajar dari Sabah, Veveonah Mosibin.

Beliau berkata, tindakan dua timbalan menteri berkenaan disifatkan sebagai buli siber.

Iklan
Iklan

"Kalaulah anda tidak sedar ini adalah buli siber yang dibuat oleh dua timbalan menteri terhadap seorang remaja," katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Beliau mengulas tindakan Zahidi dan Abdul Rahim yang pada awalnya mempersoalkan kredibiliti video tular milik Veveonah itu.

Iklan

Hannah yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu turut menempelak sikap berdiam diri Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti, Datuk Seri Rina Harun dan timbalannya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dalam perkara itu.

"Malang sekali, kita tidak mendengar apa-apa respons daripada Menteri Wanita ataupun timbalannya," katanya.

Iklan

Sementara itu, bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menyokong Veveonah dalam statusnya di Twitter.

"Betulkah? Dua timbalan menteri menentang seorang pelajar? Ia adalah satu keadaan suram bagi negara jika perkara ini terus berlaku," katanya.

Semalam, Abdul Rahim yang juga Ahli Parlimen Kudat mendakwa isu yang didakwa Veveonah Mosibin adalah palsu, malah beliau menganggap pelajar terbabit hanya ‘membuat drama’ bagi mendapat perhatian.

Sebelum itu, Zahidi di Dewan Negara mendedahkan bahawa maklumat yang diperolehnya itu diberikan oleh Abdul Rahim.

Khamis lalu, Zahidi memohon maaf dan mendakwa mendapat maklumat tidak tepat ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Negara mengenai Veveonah yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet.

Pada awal Jun, Veveonah yang juga penuntut di UMS memuat naik rakaman video beliau membuat persiapan bagi menghadapi peperiksaan universiti dengan melayari internet dari atas pokok sehingga tular di media sosial.