SHAH ALAM - Orang ramai diingatkan tidak membuat sebarang aktiviti di kawasan sepanjang pantai di daerah Kuala Langat pada tarikh tertentu dalam bulan September, Oktober dan November ini bagi mengelakkan insiden buruk.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia berikutan pada tarikh tersebut paras air laut dijangkakan tertinggi dalam tempoh 20 tahun.
Iklan
Iklan
Menurutnya, aktiviti rekreasi tidak boleh dilakukan di sepanjang pantai di Kuala Langat antara 18 September hingga 20 September (Jumaat hingga Ahad); 15 Oktober hingga 20 Oktober (Khamis hingga Selasa) dan 14 November hingga 17 November (Sabtu hingga Selasa).
"Warga dan pelawat ke kawasan pantai di daerah Kuala Langat diingatkan agar tidak mengadakan sebarang aktiviti pada tarikh yang telah dinyatakan. Segala jenis aktiviti sepanjang pantai adalah tidak dibenarkan sama sekali.
"Buat pengetahuan semua, ketinggian paras air laut pada tarikh-tarikh yang disebut adalah yang tertinggi dalam tempoh 20 tahun. Awasi mereka yang tersayang,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, orang ramai juga diminta mematuhi arahan yang ditetapkan pihak berkuasa.
Sebarang pertanyaan berhubung perkara itu katanya, boleh diajukan kepada Bilik Gerakan Bencana Alam Daerah di talian 0331822565.