Bayi perempuan ditemui dalam longkang

Iklan
Bayi perempuan dibaluti plastik ditemui ditinggalkan dalam longkang di Kampung Solok Tangkak ditemui petang semalam.

TANGKAK - Penduduk kampung menemui seorang bayi perempuan seberat 2.6 kilogram dalam longkang di Jalan Kebun, Kampung Solok kira- kira jam 6.18 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat berkata, penduduk yang merupakan saksi awal itu dimaklumkan terlebih dahulu oleh seorang anak lelakinya mengenai penemuan bayi yang dibalut dengan plastik berkenaan.

Iklan
Iklan

"Seorang kanak-kanak lelaki yang pulang dari kelas mendakwa terdengar tangisan bayi dalam longkang dan segera memaklumkannya kepada bapanya yang kemudian terus ke tempat kejadian yang terletak sekitar 50 meter dari kediaman mereka.

"Bayi tersebut masih bernafas dan menangis diletakkan dalam plastik berwarna oren. Saksi kemudian mengangkat bayi tersebut dan membalutnya dengan kain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Iklan

Tambah Mohd Fadhil, pegawai perubatan mengesahkan bayi tersebut sihat dan ditempatkan di Hospital Tangkak.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi yang mana boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Iklan

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 016-522 0525 atau 06-978 1222,” katanya.