MUAR - Seorang lelaki ditemui meninggal dunia dalam tandas di sebuah rumah yang jadikan pejabat di Taman Khalidi Baru di sini hari ini.
Kejadian itu disedari rakan sekerjanya pada jam 10.34 pagi apabila mangsa, Zainal Abidin Md Yusof, 47, yang masuk ke tandas tidak keluar selepas kira-kira satu jam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Pegawai Bomba Kanan II Zuraimi Harun berkata, rakan sekerjanya mengetuk pintu dan memanggil mangsa beberapa kali tetapi tidak menyahut.
"Rakan sekerja mangsa lalu meninjau melalui tingkap tandas dan melihat mangsa terbaring tanpa memberi apa-apa tindak balas ketika dipanggil sebelum menghubungi bomba untuk membantu mengeluarkan mangsa.
"Seramai 14 anggota BBP Muar dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT), sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dihantar ke tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pasukan bomba bertindak membuka pintu tandas dengan menggunakan peralatan khas sebelum menemui mangsa dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Pegawai Perubatan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi menyelamat mangsa tamat pada jam 11.05 pagi," katanya.