Agong terima menghadap perpisahan tiga duta besar asing

Iklan
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berangkat ke Majlis Menghadap Perpisahan tiga duta besar ke Malaysia di Istana Negara hari ini. - Foto FB Istana Negara

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Menghadap Perpisahan tiga duta besar ke Malaysia, di Istana Negara di sini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, mereka ialah Duta Besar Perancis, Frederic Laplanche; Duta Besar Vietnam, Dr Le Quy Quynh dan Duta Besar Thailand, Narong Sasitorn yang diiringi isteri masing-masing.

Iklan
Iklan

Pada majlis yang berlangsung 11 pagi tadi, Seri Paduka merakamkan setinggi-setinggi penghargaan kepada ketiga-tiga wakil asing tersebut atas peranan yang dimainkan dalam memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala di antara negara masing-masing dengan Malaysia ke tahap lebih komprehensif.

"Al-Sultan Abdullah menzahirkan bahawa ketiga-tiga negara itu adalah sahabat yang akrab dan penting khususnya dalam kalangan negara-negara ASEAN. Baginda juga menzahirkan rasa puas hati dengan jalinan hubungan diplomatik yang kini berada pada tahap tertinggi di pelbagai peringkat," kata Ahmad Fadil dalam kenyataan itu.

Iklan

Katanya, Al-Sultan Abdullah turut menegaskan kepentingan bagi Thailand, Vietnam, Perancis meningkatkan kerjasama dengan Malaysia dalam bidang pelaburan dan perdagangan dan Malaysia akan terus komited untuk memastikan potensi penuh dalam sektor ekonomi dapat dicapai.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, nilai perdagangan di antara Malaysia dan Perancis pada 2019 berjumlah RM17.07 bilion dengan nilai eksport sebanyak RM6.21 bilion dan import pula bernilai RM10.86 bilion.

Iklan

Baginda bertitah pada tahun berkenaan, Perancis merupakan negara pelabur asing keenam terbesar dalam kalangan negara-negara Kesatuan Eropah dengan jumlah pelaburan di Malaysia sebanyak RM9.69 bilion.

Sementara itu, nilai perdagangan di antara Malaysia dan Thailand pada 2019 berjumlah RM99.98 bilion dengan nilai eksport sebanyak RM55.81 bilion dan import sebanyak RM44.17 bilion.

"Dari Januari hingga Jun tahun ini, Thailand merupakan rakan dagang ketujuh terbesar dan keenam terbesar dari segi pasaran eksport serta sumber import kelapan terbesar untuk Malaysia di peringkat global.

"Bagi Vietnam pula, nilai perdagangan di antara negara itu dan Malaysia pada 2019 berjumlah RM54.6 bilion. Pada 2019, Malaysia merupakan negara pelabur asing kelapan terbesar di Vietnam dengan jumlah pelaburan sebanyak RM53 bilion," titah baginda.

Frederic Laplanche berkhidmat di Malaysia sejak Februari 2017, sementara Le Quy Quynh bermula Julai 2017 dan Narong Sasitorn pula sejak November, 2018. Mereka akan menamatkan penempatan di negara ini pada Oktober depan. - Bernama