KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan pihaknya mempunyai mekanisme tersendiri dalam menangani isu sekiranya berlaku kenaikan harga minyak petrol dan diesel secara mendadak.
Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, buat masa ini pihaknya melakukan pemantauan rapi terhadap perubahan harga minyak petrol pada setiap hari.
Iklan
Iklan
"Kita di kementerian memang pantau bagaimana naik turun harga minyak petrol ini. Jangan risau, kerajaan prihatin dan akan selalu melihat situasi kalau harga minyak petrol naik mendadak.
"Jika ia berlaku, kita ada mekanisme tertentu untuk cari tahap terbaik untuk rakyat dan juga ekonomi negara," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia @ Petronas di Stesen Petronas Jalan Kolam Ayer, Ampang di sini hari ini.
Alexander bagaimanapun berkata, buat masa ini pihaknya masih mengekalkan apa yang sedia ada.