Elemen merit diperkenalkan dalam penilaian institut memandu siri 3

Iklan
Wee Ka Siong (dua, kiri) menganugerahkan Penggredan Institut Memandu kepada PSM Motors (M) Sdn Bhd yang diwakili oleh Pengerusi Eksekutifnya, Maznah Abdullah, 80, semasa majlis penganugerahan itu di Kementerian Pengangkutan hari ini. -Foto Bernama

PUTRAJAYA - Elemen merit akan diperkenalkan sebagai elemen tambahan baharu dalam penilaian penggredan institut memandu siri 3 yang akan diadakan tahun depan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Penilaian penggredan siri 3, yang sepatutnya dibuat bermula Jun tahun ini (2020) namun ditangguhkan ke Januari tahun depan akibat pandemik koronavirus (Covid-19), akan melibatkan kira-kira 233 institut memandu di seluruh negara, katanya.

Iklan
Iklan

"Elemen merit adalah nilai tambah kepada IM (institut memandu) yang menawarkan fasiliti bertaraf lima bintang,” katanya ketika merasmikan majlis penganugerahan penggredan institut memandu siri 2 di kementeriannya, di sini hari ini.

Penilaian penggredan institut memandu siri 1 dilaksanakan bermula pada Oktober 2015 melibatkan 200 institut memandu, dengan sembilan institut memandu menerima penarafan lima bintang. Siri 2 pula bermula pada Oktober 2016 melibatkan 219 institut memandu, dengan 79 institut memandu mendapat penarafan lima bintang.

Iklan

Sistem penggredan institut memandu merupakan antara kaedah untuk menambah baik sistem penyampaian dari semua segi terutama kompetensi pemandu yang dihasilkan.

Ka Siong berkata, institut memandu yang memperoleh pengiktirafan penarafan lima bintang dapat membuat pembaharuan lesen tiga tahun sekali, manakala penarafan empat bintang adalah dua tahun sekali.

Iklan

Beliau berkata, elemen merit yang diperkenalkan dalam siri 3 itu dibangunkan bersama dengan pemain industri dan pihak seperti Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia (MIROS) melalui beberapa siri bengkel bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan kualiti penyampaian industri latihan pemanduan di Malaysia.

Mengenai peningkatan institut memandu yang mendapat penarafan lima bintang dalam siri 2 berbanding siri 1, Ka Siong berkata, ia menandakan industri latihan pemanduan semakin berdaya saing dan sentiasa berusaha untuk memajukan perkhidmatan pembelajaran yang disediakan.

Mengulas kadar yuran belajar memandu yang dikatakan mahal di beberapa negeri, Ka Siong berkata, terdapat institut memandu yang memberikan pakej tambahan seperti pengangkutan dan makanan kepada pelajarnya.

"Ramai yang kata yuran di Selangor tinggi... ini kerana institut memandu berikan pakej tambahan iaitu makanan disediakan dan kalau ada yang duduk jauh akan ada pengangkutan disediakan dan kami benarkan institut memandu kenakan caj 50 sen setiap satu kilometer,” katanya.

Kadar yuran pembelajaran yang perlu dipatuhi semua institut memandu masih sama iaitu RM350 bagi lesen memandu kelas B2 dan RM1,150 untuk lesen kelas D, katanya. - Bernama