SHAH ALAM - Kegagalan PH memenuhi janji dalam manifesto PRU14 lalu merupakan antara tiga faktor utama kerajaan baharu itu kalah dalam PRK Cameron Highlands.
Pensyarah Sains Politik, Universiti Kebangsaan (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, dua lagi faktor lain adalah kegagalan PH menunjukkan gerak kerja parti dan juga pemilihan calon yang sesuai oleh BN.
"Kalau hendak diikutkan, dari atas kertas, kerajaan PH mempunyai banyak kelebihan untuk menang dalam PRK Cameron Highlands.
"Pada PRU14, PH hanya kalah di Cameron Highlands dengan majoriti yang kecil. Kali ini PH sebagai kerajaan, dengan pelbagai kelebihan sumber, khasnya liputan media. Justeru peluang sepatutnya lebih tinggi.
"Namun disebabkan tiga faktor iaitu gagal menunaikan janji dalam manifesto, tidak menunjukkan gerak kerja parti dan pemilihan calon yang bersesuaian merupakan penyebab PH kalah di Cameron Highlands,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Jelasnya lagi, BN juga tampil dengan kekuatan tersendiri apabila mengambil langkah bijak dengan meletakkan Ramli Mohd Nor yang juga merupakan masyarakat Orang Asli sebagai calon parti itu.
Mengulas mengenai kerjasama antara parti pembangkang pada PRK Cameron Highlands itu, Muhamad Nadzri berkata, parti-parti pembangkang perlu berpakat dengan pragmatik dan strategik.
"Cari titik temu untuk memperkasakan barisan pembangkang, sebagai kerajaan menunggu di masa depan,dalam menyaingi PH dalam pilihan raya akan datang.
"Peluang untuk mempertahankan sistem dua parti di Malaysia adalah masih tinggi kalau pemimpin terus berpolitik dengan hikmah, teruslah bermuafakat dalam perjuangan politik Malaysia yang pelbagai etnik dan agama ini,”katanya.
Ramli diumumkan menang selepas memperoleh 12,038 undi, manakala M Manogaran, 8,800 (PH dan dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib, 314, dan Wong Seng Yee 272.
ARTIKEL BERKAITAN: BN menang, Ramli cipta sejarah Orang Asli jadi MP
PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Oktober lepas, membatalkan kemenangan calon BN Datuk C Sivarraajh pada PRU14 ekoran berlaku unsur rasuah untuk mendapatkan undi.