'Arwah suami pesan banyakkan zikir, selawat'

Iklan
Gambar Sariah bersama arwah suaminya yang maut dalam kemalangan di Jalan Parit Baru kelmarin.

SABAK BERNAM - Seorang warga emas yang maut dalam kemalangan sempat berpesan kepada isterinya supaya perbanyakkan berzikir dan berselawat tiga hari sebelum terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Bagan Nakhoda Omar (BNO) Parit Baru di sini, kelmarin.

Isterinya, Sariah Salikun, 59, berkata, Allahyarham suaminya, Baharin Tahir, 67, mengungkapkan perkara itu semasa sedang duduk di tangga rumah mereka di Kampung Empat BNO.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia pelik melihat kelakuan suaminya itu dan terus menghampiri Baharin yang ketika itu seakan-akan termenung bersendirian.

"Saya bertanya dengan arwah kenapa termenung di tangga? Arwah memberitahu dia sedang berzikir dan berselawat.

Iklan

"Arwah sempat berpesan kepada saya supaya mengamalkan zikir dan selawat sekurang-kurangnya 100 hari setiap hari sebagai bekalan akhirat," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Sariah berkata, pesanan Allahyarham suaminya yang juga pesara Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) itu masih terngiang-ngiang sehingga kini.

Iklan

"Saya masih tak sangka suami sudah pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya.

"Arwah seorang suami yang rajin menunaikan solat jemaah lima waktu di masjid dan amat baik terhadap keluarga," katanya.

Menurutnya, pada hari kejadian, dia dan Allahyarham bercadang mengundang adik-beradiknya ke rumah untuk menikmati juadah makan tengah hari.

"Kami sudah sediakan barangan keperluan untuk memasak, kebetulan arwah memaklumkan dia hendak makan ayam goreng, tak sangka hasratnya tidak kesampaian," katanya.

Dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal kira-kira jam 10.15 pagi di Jalan BNO Parit Baru semalam, Baharin meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah Sabak Bernam, manakala seorang lagi lelaki cedera parah.

ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas maut, seorang parah nahas dua motosikal

Sariah berkata, dia mengetahui suaminya kemalangan selepas dimaklumkan jiran dan terus bergegas ke lokasi kejadian.

"Luluh hati apabila sampai di tempat kejadian mendapati suami tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal di hospital," katanya.

Katanya, mereka berdua mengambil seorang anak angkat, Mohammad Faizal Arif Mahudin, 21, selepas tidak dikurniakan anak sejak berkahwin 30 tahun lalu.

Sementara itu, Mohammad Faizal berkata, dia mengetahui kemalangan menimpa bapa angkatnya itu ketika berada di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan.

Menurutnya, dia bercadang pulang ke rumah pada hari ini, namun tidak menyangka arwah bapanya terlebih dahulu menghadap Ilahi, Ahad lalu.

"Saya sudah kemas barang sebab bercadang hendak balik ke kampung Selasa (hari ini), tapi dikejutkan dengan berita pemergian arwah abah.

"Saya sedikit terkilan sebab tidak sempat berkongsi cerita dengan arwah abah semasa saya berjalan bersama rakan di Janda Baik," katanya.