KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini seolah-olah memberi gambaran bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berlangsung dalam masa terdekat.
Ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun ke-4 Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini malam ini, Presiden Bersatu itu memberi peringatan kepada semua pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) dan ahli-ahli Bersatu agar bekerja keras seolah-olah Pilihan Raya Umum (PRU) akan berlangsung esok.
Malah, peringatan tersebut telah diulang sebanyak dua kali.
"Jangan tanya saya bila PRU akan datang. Yang Penting kita perlu bekerja dengan bersungguh-sungguh seolah-seolah esok pilihan raya akan diadakan...seolah-olah esok pilihan raya akan diadakan.
"Faham betul bahasa Melayu saya itu," katanya ketika berucap pada majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini malam ini.
Dalam masa sama, Muhyiddin berkata, bagi menentukan kejayaan pada PRU15, semua pemimpin dan ahli PN perlu mengukuhkan semangat perpaduan tanpa ada perasaan cemburu dan iri hati.
Menurutnya, dalam situasi 'politik baharu', perkara itu penting bukan hanya untuk meraih sokongan rakyat tetapi demi masa depan parti dan negara.
"Jangan ada perasaan-perasaan yang boleh menyebabkan kerenggangan hubungan sesama kita. Kita harus mempercayai antara satu sama lain, harus bantu dan tolong satu sama lain," katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai sambutan keempat tahun penubuhan Bersatu, Muhyiddin turut mengingatkan semua ahli agar terus mewujudkan barisan yang kuat dan kukuh.
Beliau turut meletakkan harapan Bersatu terus kekal abadi dalam sejarah politik negara pada masa hadapan.
"Jadikan sifat amanah, integriti dan bermaruah sebagai satu daripada panduan untuk menentukan imej Bersatu supaya akan sentiasa didokong dan disokong segenap peringkat rakyat Malaysia," katanya.
Seramai 2,000 ahli Bersatu dari seluruh negara hadir pada majlis berkenaan.
Pada majlis itu juga, agensi-agensi barisan hadapan turut diraikan sebagai tanda penghargaan memerangi wabak Covid-19.