Aktiviti urus niaga dalam talian tidak akan terkesan, kata PUIM

Iklan
Trend jualan dan pembelian dalam talian dijangka tidak akan menurun serta tidak terkesan memandangkan aktiviti online semakin rancak. - Foto 123RF

SHAH ALAM - Aktiviti urus niaga dalam talian dijangka tidak terkesan sekiranya cadangan caj perkhidmatan 20 sen dikenakan bagi pembelian di bawah RM1,000 melalui platform dalam talian dikuatkuasakan.

Presiden Persatuan Usahawan Internet Malaysia (PUIM), Mohd Azrul Mohd Nor berkata, normal baharu memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan terhad dalam pembelian dalam satu premis membuatkan pembeli memilih untuk berbelanja secara dalam talian.

Iklan
Iklan

"Saya menjangkakan trend jualan dan pembelian dalam talian tidak akan menurun serta tidak terkesan memandangkan aktiviti online semakin rancak ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pengguna tidak dapat berbelanja seperti biasa dan secara tidak langsung ‘memaksa’ mereka secara sukarela berbelanja melalui platform itu khususnya.

"Malah pembelian dalam talian dilihat lebih teratur dan cepat, dan kini jauh lebih efisien berbanding sebelum ini. Dalam masa sama, teknologi yang semakin baik membuatkan pengguna tidak kira di bandar atau luar bandar serta golongan berpendapatan rendah dapat merebut peluang menggunakan kemudahan ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Azrul berkata, PUIM bersetuju dengan cadangan kerajaan sekiranya ia dapat membantu banyak pihak khususnya rakyat dan negara untuk menjana semula ekonomi yang merosot akibat Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: KKMM cadang rakyat guna e-dagang dikenakan caj 20 sen

Iklan

"Dalam kes ini, ia mungkin memberi sedikit kesan pada pembeli frekuensi tinggi untuk harga yang kurang daripada RM1,000. Saya berpendapat ini merupakan majoriti paling besar untuk segmen ini.

"Secara langsung sebarang caj tambahan sudah tentu membebankan pembeli tetapi ia boleh disesuaikan dari masa ke masa demi meningkatkan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan melalui transaksi e-dagang pada tahun 2015 hingga 2017 mencatatkan nilai RM50 bilion dengan kadar pertumbuhan sebanyak enam peratus.

Malah, pendapatan itu meningkat sebanyak RM15.3 bilion pada 2019 dan kadar pertumbuhan dijangka naik 11.8 peratus menjelang 2023.