KUALA TERENGGANU - Trend memelihara ayam ratu kini semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia, bukan sahaja sebagai hobi malah semakin ramai yang menjadikannya sebagai sumber pendapatan.
Begitu juga dengan Hafnizan Abdul Wahab, 44, yang bermula dengan hobi memelihara sepasang anak ayam ratu baka Leung Hang Khao (LHK) berusia lima bulan dari Thailand dengan harga RM5,000 pada 2014 dan kini mampu memperoleh pendapatan bersih bulanan antara RM5,000 dan RM6,000.
Bapa kepada enam cahaya mata itu kini memiliki lebih 1,000 ekor ayam ratu.
Bentuk ayam ratu sama seperti ayam laga, bagaimanapun unggas ini mendapat sambutan ramai kerana kecantikannya yang dianggap unik, khususnya yang mempunyai ciri dikehendaki seperti berekor panjang, warna menarik, bulunya yang berkilat dan mempunyai kesihatan yang baik.
"Harga ayam ratu sangat mahal dan penjagaannya pula agak cerewet, kerana untuk menghasilkan seekor ayam untuk memenangi pertandingan 'ratu cantik' memerlukan usaha yang bukan kepalang. Namun, semuanya berubah apabila saya berjaya menjual lima ekor anak ayam yang berusia dua minggu dengan harga RM1,000 tidak sampai lima minit, selepas diiklankan di laman Facebook.
"Sejak itu keluarga mula memberi sokongan, kerana yakin ayam ratu ini mampu memberi pendapatan lumayan,” katanya kepada Bernama yang berkunjung ke kediamannya di Kampung Padang Machang dekat Manir di sini.
Menurut Hafnizan sejak dari 2014, beliau telah menjual lebih 500 ayam ratu untuk pasaran seluruh Malaysia selain dieksport ke Indonesia dan Thailand, manakala bakinya masih dipelihara di lebih 20 lokasi milik ahli kelab peminat ayam ratu sekitar Terengganu iaitu 'Oscar Team', yang diasaskannya pada tahun 2016.
"Melalui kelab ini, kami akan bekerjasama untuk menghasilkan 'ratu cantik' yang sempurna, untuk menyertai pelbagai pertandingan yang dianjurkan di seluruh negara. Malah apa yang membanggakan, ayam ratu peliharaan saya bernama Radiq, pernah menjadi juara dalam satu pertandingan di Thailand pada 2018.
"Kemenangan itu membuktikan bahawa tanggapan negatif kononnya ayam ratu Malaysia tidak akan dapat mengalahkan kecantikan ayam ratu yang sememangnya berasal dari Thailand, adalah tidak benar,” katanya yang aktif memenuhi undangan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membuat pameran dan perkongsian mengenai keistimewaan ayam ratu dan peluang menjana pendapatan.
Terbaharu, Oscar Team turut diundang memeriahkan pelancaran Kampung Budaya Terengganu, bertempat di Muzium Negeri sebagai usaha memperkenalkan ayam ratu kepada orang ramai.
Anak jati Kampung Seberang Tuan Chik, Kuala Terengganu itu, menafikan tanggapan negatif masyarakat, yang sering mengaitkan ayam dengan perjudian.
"Kalau zaman dahulu, memang benar ada pertandingan laga ayam dengan pertaruhan tertentu, namun seiring perubahan masa dan kefahaman mengenai hukum agama, ia tidak berlaku lagi kerana ayam yang dinobatkan sebagai ratu cantik, hanya diberi sijil pengiktirafan dan trofi kemenangan sahaja tanpa sebarang hadiah wang tunai. Harga ayam ratu itu akan melambung tinggi hingga lebih RM3,000 selepas dinobatkan sebagai ratu cantik,” katanya.
Keghairahan Hafnizan dan ahli kelab Oscar Team dalam menyertai pertandingan ratu cantik, bagaimanapun terhenti sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, namun mereka masih meneruskan rutin menjaga ayam masing-masing.
"Alhamdulillah, berkat penjagaan rapi sepanjang PKP dan mengiklankan ayam ratu di media sosial, ramai ahli yang memeliharanya secara sambilan turut berjaya menjana pendapatan bersih lebih RM3,000,” katanya yang sentiasa berhubung rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, untuk pelbagai program kerjasama.
Hafnizan, yang sebelum ini bekerja sebagai perunding dalam industri minyak dan gas, kini nekad menjadikan ayam ratu sebagai sumber pendapatan utama, turut memberi tumpuan menjual produk berkaitan ayam ratu dan menyasarkan jualan sebanyak RM80,000, menjelang akhir tahun ini.
Produk-produk berkaitan seperti perekup, kelambu, karpet, makanan serta multivitamin untuk ayam berkenaan, turut dipasarkannya melalui laman Facebook miliknya untuk pasaran Malaysia, Indonesia dan Thailand, serta dibawa ke mana-mana pameran seluruh negara.
"Sehingga kini, terdapat lebih 100,000 peminat ayam ratu di seluruh Malaysia, yang mana kebanyakan mereka membeli barangan keperluan ayam ratu ini dari Thailand. Ketika ini kami sudah mempunyai rangkaian dan maklumat mengenai pelanggan dan mereka juga positif serta mahukan produk berkualiti pada harga lebih rendah, berbanding membelinya dari negara jiran,” katanya. - Bernama