Bakal calon dinasihat isi borang sebelum 12 September

Iklan

KOTA KINABALU - Bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dinasihatkan agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang pencalonan sebelum hari penamaan calon pada 12 September ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Ikmalrudin Ishak berkata, semakan itu boleh dibuat dengan pejabat pegawai pengurus atau pejabat pilihan raya negeri Sabah.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pada hari penamaan calon, kertas penamaan calon boleh dikemukakan bermula pada jam 9 hingga 10 pagi kepada pegawai pengurus pilihan raya di 73 bahagian pilihan raya oleh calon, pencadang dan penyokong; mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.

"Selain itu bakal-bakal calon juga disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran perlu dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Ikmalrudin berkata, bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan kertas penamaan calon.

Beliau berkata, selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon.

Iklan

Katanya, aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding juga tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon.

"SPR menyeru kepada semua calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada hari penamaan calon,” katanya. - Bernama