Guan Eng berdepan dua lagi pertuduhan rasuah

Iklan
Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng berbual bersama peguamnya Gobind Singh Deo (kanan) selepas prosiding sebutan semula kes rasuah yang dihadapinya berhubung pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng akan menghadapi dua pertuduhan baharu berkaitan penyalahgunaan harta di Mahkamah Sesyen Butterworth pada Jumaat ini.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladin pada sebutan kes rasuah Guan Eng yang juga merupakan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang didakwa meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Iklan
Iklan

"Pihak pendakwaan telah menyerahkan notis kepada tertuduh pagi ini untuk memaklumkan mengenai dua pertuduhan ke atasnya mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu,” katanya semasa sebutan semula kes rasuah itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.

Wan Shaharuddin berkata, pertuduhan yang akan dihadapi Guan Eng pada Jumaat ini merupakan pertuduhan terakhir bagi kontroversi projek terowong dasar laut yang menjadi perhatian sejak beberapa tahun lalu.

Iklan

Seksyen 403 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan penyalahgunaan harta untuk kepentingan peribadi atau menyebabkan individu lain melupuskan sebarang harta yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng, 60, mengesahkan anak guamnya telah menerima notis tersebut bagaimanapun berkata, pihaknya masih belum melihat dua pertuduhan baharu itu.

Iklan

Pada 7 Ogos, Guan Eng dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Pada 10 Ogos lepas, Guan Eng didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 billion.

Zarul merupakan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Pada 11 Ogos pula, Guan Eng sekali lagi didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk rasuah wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Guan Eng mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapinya. - Bernama