Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib Azilah Abd Aziz, 46, dari Kampung Sungai Seluang, Lunas, Kedah, selepas kematian suaminya, Abdul Wahab Harun pada Januari 2018.
Kehidupannya yang selama ini bergantung harap kepada suami sebagai penjual ikan, bertambah goyah apabila rumah yang dibina di atas tanah milik saudara di Padang Serai dekat sini, perlu dikosongkan.
"Ketika itu, hanya Tuhan yang tahu betapa celarunya saya memikirkan bagaimana untuk meneruskan kehidupan bersama enam anak,” katanya yang kini dapat mendiami rumah sendiri hasil sumbangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Program Baiti Jannati (PBJ).
Beliau ditemui ketika menerima rumah berkenaan yang disaksikan Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Kedah, Wan Ishak Soed.
Selepas terpaksa meninggalkan rumah di Padang Serai, Azilah menumpang kasih di rumah ibu mentua, Zainab Ibrahim di Kampung Sungai Seluang.
Hasil sokongan keluarga iparnya, dia mengambil upah membuat roti dan kek untuk dijual di Hospital Kulim dengan pendapatan kurang daripada RM500 sebulan.
Dia amat bersyukur dan berterima kasih apabila mendapat rumah melalui PBJ TNB yang dibina atas tanah pusaka keluarga arwah suaminya. Azilah mendiami rumah baharu itu bersama empat anaknya yang masih belajar berusia 21, 18, 16 dan 10 tahun. Manakala, anak sulung (25 tahun) dan kedua (24 tahun) sudah mendirikan rumah tangga.
Selamat tinggal rumah ‘kotak’
Perasaan luar biasa menyelubungi sambutan Syawal empat beranak di Kampung Merbau Sempak di Sungai Buloh, Selangor. Dalam suasana keterbatasan akibat pandemik Covid-19, lebaran bagi keluarga ini lebih sempurna di rumah sendiri.
Mohd Faizal Mohd Kassim, 46, tidak dapat menyembunyikan perasannya, kering jua air matanya saat melihat keceriaan isterinya, Suriyati Ali, 46, dan anak-anak Muhamad Fakruldin, 7, serta Muhamad Faizudin, 6.
Tiada kata mampu diungkap, apatah lagi dalam keadaan dirinya tidak berupaya kerana menderita sakit buah pinggang dan slipped disc serta hanya bergantung hidup bantuan Zakat Selangor selepas berhenti kerja.
Pemberian TNB melalui Projek Baiti Jannati itu membolehkan kediaman baru tiga bilik dibina atas tanah pusaka yang dikongsi tujuh beradik, di depan rumah asal yang serba kekurangan dan tidak sesuai dijadikan tempat berlindung.
Mereka berpindah ke rumah baru itu beberapa hari sebelum Syawal, selepas hampir tiga tahun mendiami ‘rumah kotak’ seluas 200 kaki persegi, yang hanya separuh siap berdindingkan bata, berbumbung zink dan berlantaikan tanah.
Ketua Perkhidmatan Pelanggan - Selangor, Dato' Md Yuslan Md Yusof menziarah keluarga ini dan menyerahkan secara rasmi rumah berkenaan yang dibina TNB dengan harga RM50,000.
"Syukur dan terima kasih kepada semua yang terlibat terutama TNB atas bantuan sebesar ini,” kata Mohd Faizal sebak.
Inisiatif TNB
Sementara itu, Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab Rahman berkata, projek itu adalah satu program tanggungjawab korporat (CSR) TNB untuk membaiki, membina dan membiayai pembelian kediaman golongan yang memerlukan, termasuk orang kurang upaya, ibu tunggal, warga emas dan asnaf.
"Kami berharap usaha ini memberi kegembiraan dan keselesaan kepada penerima,” katanya.
PBJ dilancarkan pada 2007. Sehingga 2012, kos membaiki, membina dan membeli kediaman dibiayai oleh TNB.
Bermula tahun 2013, kos itu ditanggung menggunakan wang zakat TNB yang dikembalikan kepada Majlis Agama Islam Negeri.
Projek Baiti Jannati TNB
* Satu program Tanggungjawab Korporat TNB, dilancarkan pada 2007 untuk mem-baiki/membina/membiayai pembelian kediaman golongan yang memerlukan,
termasuk orang kurang upaya, ibu tunggal, warga emas, dan penduduk
miskin bertaraf asnaf.
* Pada permulaan program sehingga 2012, kos membaiki/membina/membeli kediaman menggunakan peruntukan TNB. Mulai tahun 2013, kos ditanggung menggunakan wang
zakat TNB yang dikembalikan Majlis Agama Islam Negeri.
* Kos membaiki/membina/membeli kediaman adalah tidak melebih RM50,000.