PASIR MAS - Seorang penternak di Kampung Mesa, Tok Uban di sini 'bingung' selepas 14 ekor kambing miliknya mati secara mengejut.
Kejadian itu disedari Salma Mat Daud, 60, pada jam 11.30 pagi kelmarin ketika mahu membawa kambing peliharaannya pulang ke kandang.
"Sebelum itu kambing-kambing ini saya tambat di kebun yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah.
"Ketika mahu mengambil kambing tersebut saya terkejut melihat haiwan peliharaan berada dalam keadaan bergelimpangan," katanya yang lebih 20 tahun berkecimpung dalam bidang ternakan secara kecil-kecilan.
Menurutnya, lebih mengejutkan lagi hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati kambing itu telah digigit di bahagian leher dan punggung.
Katanya, beliau turut menemui kesan tapak kaki milik seekor binatang berhampiran kawasan kejadian.
Salma berkata, bagaimanapun beliau tidak dapat mengenal pasti tapak kaki itu milik haiwan liar sama ada anjing atau harimau bintang.
"Kawasan ini memang ada anjing liar namun ia tidak pernah mengganggu mana-mana ternakan penduduk sebelum ini.
"Dalam masa yang sama penduduk juga pernah melihat kelibat harimau bintang ketika sedang menoreh," katanya.
Menurutnya, beliau telah menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) untuk mendapatkan bantuan.
Katanya, agensi berkenaan sudah mengadakan lawatan di tempat kejadian semalam dan memasang perangkap.
Salma berkata, dengan tindakan itu diharap dapat melindungi 11 ekor lagi kambing miliknya yang terselamat.
"Bukan itu sahaja, saya sudah tidak berani untuk menambat kambing di kebun kerana bimbang kejadian itu akan berulang," katanya.
Sementara itu, wakil penduduk, Muhamad Che Man, 61, berkata, ekoran kejadian itu penduduk yang rata-ratanya penoreh getah diselubungi ketakutan untuk keluar bekerja.
Katanya, beliau berharap langkah segera dapat diambil oleh pihak berkenaan untuk memastikan kawasan tersebut bebas daripada ancaman binatang liar.
"Kami sedia memberikan kerjasama sekiranya bantuan diperlukan untuk menangkap haiwan yang menjadi teka-teki penduduk kampung.
"Sama ada anjing atau pun harimau bintang, ia perlu ditangkap dengan segera demi keselamatan penduduk," katanya.