KUALA LUMPUR - Seorang senator mencadangkan supaya kerajaan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas Julai tahun depan supaya dapat memberi peluang kepada anak muda terutamanya yang berusia 18 tahun terlibat secara langsung dalam memilih kerajaan.
Ismail Yusof berkata, langkah itu seiring dengan pelaksanaan sistem pendaftaran pemilih secara automatik yang dijangka dikuatkuasakan selewat-lewatnya pada Julai tahun depan.
"Pelaksanaan sistem undi secara automatik mengikut garis masa kita, hanya akan dibuat pada Julai 2021 dan saya buat penegasan untuk minta PM (Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan kerajaan PN (Perikatan Nasional) supaya Pilihan Raya Umum diadakan selepas itu.
"Ini kerana pelaksanaan PRU selepas (tempoh) itu akan membuka lebih banyak ruang demokrasi kerana lebih ramai pemilih sekali gus lebih ramai suara rakyat akan dapat dizahirkan dalam proses pembentukan kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas jawapan yang diberikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Shabudin Yahaya semasa persidangan Dewan Negara yang menyatakan seramai 4.2 juta penduduk di negara ini yang berusia lebih 21 tahun masih belum mendaftar sebagai pemilih.
Terdahulu dalam kenyataan pada persidangan Dewan Negara itu Shabudin berkata, dengan pelaksanaan sistem pendaftaran pemilih secara automatik, negara akan menambah jumlah pengundi dalam kalangan individu berusia 18 tahun, antara enam hingga tujuh juta orang.
Mengulas lanjut Ismail berkata, menerusi langkah itu, pembentukan kerajaan pada PRU akan datang dilihat lebih efektif, apabila terdapatnya penyertaan golongan muda dalam PRU itu.
"PRU itu juga kita tentunya akan dapat keputusan majoriti PRU lebih baik, kalau buat sekarang pun perbezaannya tidak ketara.
"Kita mahu pengundi muda ini diberi tanggungjawab untuk memilih kerajaan, jadi berilah peluang kepada mereka,” katanya. - Bernama