UNIVERSITI Kuala Lumpur (UniKL) terus cemerlang pada saingan Liga Perdana, TNB Liga Hoki Malaysia selepas menewaskan TNB Thunderbolts 4-1 hari ini sekali gus kemenangan keempat berturut-turut diraih oleh mereka.
Skuad kendalian Arul Selvaraj itu sebelum ini menewaskan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2-1 sebelum membenam cabaran TNB dan Nur Insafi dengan jaringan sama 3-1.
Arul nyata lebih berpuas hati dengan prestasi barisan pemainnya pada hari ini berbanding ketika menewaskan Nur Insafi tiga hari lalu.
"Sekali lagi kami berjaya meraih tiga mata penuh dan saya lihat setiap pemain mempamerkan peningkatan prestasi. Razie beraksi dengan baik apabila menyempurnakan dua pukulan sudut penalti tidak seperti ketika bertemu Nur Insafi yang menyaksikan kita tidak dapat menjaringkan gol meskipun memperoleh 12 pukulan sudut penalti.”
"Kami perlu teruskan momentum ini terutama untuk perlawanan seterusnya bertemu Maybank kerana saya lihat mereka adalah pasukan yang sukar untuk ditewaskan," katanya.
Berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, UniKL tidak perlu menunggu lama untuk di depan selepas tonggak import, Kieran Govers menjaringkan gol padang minit ke-5.
Pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abd Rahim semakin mengukuhkan kedudukan UniKL apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-25.
Razie sekali lagi cemerlang menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-39 untuk kedudukan semasa UniKL 3 Thunderbolts 0.
Muhammad Nur Asyraf Ishak merapatkan jurang untuk Thunderbolts selepas tenang menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-46. Namun UniKL menambah gol keempat hasil jaringan padang minit ke-51 menerusi Robbert Kemperman.