SHAH ALAM - Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa meminta semua parti dalam Perikatan Nasional (PN) agar bertenang dalam soal pengagihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, adalah lebih baik parti gabungan ‘jangan bising’ dalam soal pengagihan kerusi sebaliknya menyelesaikan perkara itu dalam suasana tenang.
Menurutnya, rundingan akan dilakukan sebaik mungkin bagi memastikan kesepakatan mampu dicapai demi memastikan kemenangan sementara pengagihan kerusi dibuat secara adil demi kebaikan bersama.
Bagaimanapun, mesej Twitter Annuar itu memberi gambaran kesepakatan belum diperoleh menjelang penamaan calon pada Sabtu ini.
"Saya cuba menghitung, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) nak 18, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) nak 45, Parti Bersatu Sabah (PBS) nak 30, Pas nak 10.
"Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) nak 11, MCA nak enam kerusi... dah 120 sedangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah cuma ada 73.
"UMNO nak minta berapa kalau parti yang menang satu atau dua kerusi pun nak berbelas-belas, maka kita berunding setakat yang boleh, tenang-tenang, jangan bising,” ciapnya di Twitter.
DUN Sabah mempunyai 73 kerusi, pertambahan sebanyak 13 lagi kerusi berbanding 60 ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan difahamkan sehingga kini PN masih belum selesai dalam isu pengagihan kerusi dalam kalangan parti-parti dalam gabungan itu.
Dalam PRU 2018, BN bertanding di 60 kerusi DUN Sabah dan menang di 29 kerusi, sementara Parti Warisan Sabah (Warisan) menang di 21 kerusi.