Penjawat awam gerun dengan Rosmah

Iklan
Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR - Bekas Pegawai Khas Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Rizal Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa penjawat awam gerun kepada isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu yang dilihat agak tegas dalam tindakannya.

Ini kerana mereka berpendapat, sekiranya mengingkari kehendak Rosmah, kemungkinan besar mereka akan dikenakan tindakan.

Iklan
Iklan

Saksi pendakwaan ke-21, Rizal, 46, bagaimanapun memberitahu mahkamah, hal itu hanyalah khabar angin yang disebarkan untuk merosakkan imej isteri bekas Perdana Menteri terbabit.

Rizal mengakui hubungan baik seseorang dengan Rosmah boleh memudahkan mereka mendapat kontrak projek kerajaan atau gelaran kebesaran seperti pangkat Datuk.

Iklan

"Daripada pengalaman saya bekerja bersama warga perkhidmatan awam, saya dapati Datin Seri Rosmah mempunyai pengaruh yang besar ke atas mereka kerana beberapa faktor.

"Faktor utama ialah ketakutan warga perkhidmatan awam terhadap Datin Seri Rosmah yang dilihat sebagai isteri Perdana Menteri yang garang dan boleh mempengaruhi keputusan dan tindakan Perdana Menteri.

Iklan

"Pada pandangan warga perkhidmatan awam, Datin Seri Rosmah berkebolehan untuk mempengaruhi Perdana Menteri untuk memindahkan pegawai-pegawai kerajaan yang menentang atau mengingkari permintaan beliau ke jawatan yang kurang penting atau di dalam istilah biasa di kalangan penjawat awam iaitu jawatan 'peti sejuk' atau dipindahkan jauh dari tempat mereka bermastautin,” katanya dalam pernyataan saksi yang dibacakan hari ini.

Rizal bagaimanapun menegaskan bahawa persepsi tersebut adalah tidak tepat.

Namun, Rizal berkata berdasarkan pemerhatiannya, ketika menyandang jawatan Perdana Menteri, Najib merupakan seorang suami yang sangat menghormati pandangan Rosmah.

Rizal berkata, pada mulanya kebanyakan tugasannya meliputi urusan media yang melibatkan Rosmah tetapi kemudian ditugaskan untuk hal-hal peribadi dan sulit memandangkan kepercayaan Rosmah terhadapnya semakin bertambah.

Dia berkata. antara tugas sulit tersebut ialah menerima wang tunai dan hadiah daripada ahli perniagaan dan kontraktor bagi pihak Rosmah.

Rizal menegaskan bahawa dia menganggap itu adalah sumbangan politik dan tidak menganggapnya sebagai suatu kesalahan.

"Melalui pengetahuan saya, ada beberapa usahawan atau kontraktor yang berjaya mendapatkan projek kerajaan setelah mereka dibantu oleh Datin Seri Rosmah.

"Kebiasaannya, usahawan-usahawan atau kontraktor-kontraktor ini akan memberikan sesuatu hadiah kepada beliau sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih mereka kerana beliau telah membantu mereka.

"Hadiah-hadiah yang diberikan ini adalah termasuk wang tunai,” katanya.