PASIR GUDANG - Empat individu ditahan ketika mengendalikan temuduga dipercayai bagi pekerjaan di atas kapal persiaran yang tidak wujud di sebuah pasar raya di Plentong, Johor Bahru semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Menurutnya, beberapa dokumen dirampas termasuk permohonan pekerjaan dan Notis Perkapalan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia.
"Mereka menawarkan pekerjaan di atas kapal persiaran itu bermula 15 September di Terminal Feri Pasir Gudang.
"Pemohon yang berminat dengan pekerjaan ditawarkan itu dikehendaki membayar RM250 ke dalam akaun syarikat milik salah seorang daripada suspek," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak Terminal Feri Pasir Gudang mengesahkan tiada operator perkapalan di terminal itu yang menawarkan pekerjaan di kapal persiaran buat masa ini atau pada 15 September ini.
"Tiada aktiviti turun atau naik kapal persiaran dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di mana-mana pelabuhan atau terminal feri.
"Kesemua suspek akan reman bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.
Katanya, polis meminta kepada mana-mana individu yang telah berurusan dengan suspek tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.