Ditangkap kerana rakam gambar wanita di Arab Saudi

Iklan
Gambar fail menunjukkan seorang wanita menunggu teksi di Riyadh. - Foto AFP

RIYADH - Ramai orang yang suka merakamkan gambar orang yang tidak dikenali tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada tuan punya badan sejak akhir-akhir ini.

Kegemaran untuk merakamkan gambar seseorang individu itu juga semakin menjadi-jadi berikutan perkembangan teknologi telefon bimbit yang dilengkapi pula dengan kamera canggih.

Iklan
Iklan

Gambar yang ditangkap itu kemungkinan akan menjadi koleksi peribadi atau disimpan untuk disiarkan di laman-laman sosial yang semakin banyak bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan dewasa ini.

Bagaimanapun, masih ramai yang tidak mengetahui bahawa merakamkan gambar tanpa kebenaran empunya diri merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang Arab Saudi.

Iklan

Negara itu memperuntukkan hukuman setahun penjara dan dikenakan denda sebanyak 500,000 riyal (RM556,166.77) jika didapati bersalah merakamkan gambar seseorang tanpa mendapat kebenaran daripada tuan punya badan.

Kemungkinan seorang pemandu teksi di Riyadh tidak mengetahui kewujudan undang-undang tersebut menyebabkan dia ditangkap oleh polis kerana didakwa merakamkan gambar seorang penumpang wanita tanpa mendapat kebenarannya terlebih dahulu.

Iklan

Dia didakwa merakamkan gambar penumpang itu secara rahsia sebelum disebarkan dalam satu aplikasi rangkaian sosial.

Bagaimanapun, tidak ada maklumat sama ada dia telah menggunakan telefon bimbit untuk merakamkan gambar tersebut seperti laporan portal berita Gulf News pada 8 September lalu.

Umur pemandu teksi itu pula dalam lingkungan 60an dan merupakan warga Pakistan manakala perbuatannya yang didakwa menyalahi undang-undang itu pula telah berada dalam tindakan pihak pendakwa raya Arab Saudi.

Sehubungan itu, janganlah merakamkan gambar seseorang individu secara rahsia dan sewenang-wenangnya tanpa mendapat keizinannya terlebih dahulu jika berkunjung ke Arab Saudi bagi mengelak anda ditangkap dan didakwa sekali gus menerima hukuman penjara serta denda di mahkamah jika didapati bersalah.