KUALA TERENGGANU – Kesukaran yang ditempuh sepanjang perjalanan sejauh 1,200 kilometer (km) dalam Kembara Merdeka 2020 di enam negeri Semenanjung menjadi lakaran sejarah bagi dua sahabat, Md Nasir Ahmad, 61, dan Ishak Mohamad, 58.
Pengembaraan yang tidak bermotifkan keuntungan itu bagi menzahirkan semangat patriotik sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-63 serta menyelusuri keperitan, pengorbanan dan kepayahan yang ditempuh pejuang terdahulu dalam menuntut kemerdekaan.
Bekas pesara tentera dan bekas pekerja swasta itu tidak menjadikan faktor usia sebagai halangan untuk mereka menjelajah enam negeri malah ia menjadi antara penyuntik semangat untuk mereka untuk terus mara menyampaikan mesej merdeka di sepanjang perjalanan.
Perjalanan yang ditempuh selama 23 hari bermula di Alor Gajah, Melaka pada 25 Ogos lalu sebelum bertolak ke Bahau, Negeri Sembilan; seterusnya ke Pahang, Kelantan, Terengganu dan ke destinasi akhir di Muar, Johor.
Ishak yang sebelum ini merupakan Pegawai Khas kepada Pengerusi Rural Capital Berhad (Anak Syarikat Mara), Tan Sri Abu Seman Yusop berkata, ini adalah kali pertama pengembaraan dilakukan secara berbasikal.
Katanya, sebelum ini beliau pernah menyertai kembara merdeka dengan menunggang motosikal pada tahun 2018 dan menaiki kereta pada tahun 2019.
"Ada yang hairan sudah berusia begini sepatutnya berehat sahaja di rumah. Tetapi kami tidak. Kami ingin melahirkan denyut nadi perjuangan dan jatuh bangun pemimpin terdahulu dalam menuntut kemerdekaan.
"Kita mungkin tidak mampu dan berpeluang untuk menabur budi seperti mereka namun adalah mustahil kita tidak tahu atau tidak boleh mengenang budi,” katanya ketika ditemui di Primula Beach Hotel di sini semalam.
Beliau berkata, inisiatif itu tidak akan terhenti setakat ini dan berharap selepas ini beliau akan dapat turut serta dalam kembara merdeka dengan membawa misi yang sama.
"Kami tidak meminta dan menagih wang ringgit, hanya kami pinta doa agar diberi kekuatan, kesihatan dan jauh dari malapetaka dunia agar tenaga tua kami ini berjaya sampai ke penamatnya pada 16 September 2020.
"Insya-ALLAH, jika dipanjangkan usia, dikurniakan kesihatan yang baik kami merancang untuk merealisasikan kembara merdeka dengan berjalan kaki pula selepas ini,” katanya.
Menurut Ishak, banyak kenangan pahit manis yang dirakam di sepanjang perjalanan antara yang tidak boleh dilupakan ialah bertemu seorang warga emas berusia lewat 70-an yang pernah hidup sezaman dengan pejuang Melayu, Mat Kilau di Kampung Budu, Kuala Lipis, Pahang.
"Beliau merupakan anak jati kawasan itu dan pernah bertemu dan berjabat tangan bersama Mat Kilau ketika pahlawan itu mendedahkan dirinya pada 1970. Bagi saya itu antara pertemuan manis yang saya akan kenang sampai bila-bila,” katanya.
Sementara itu, Md Nasir yang pernah bertugas sebagai jurulatih Biro Tata Negara (BTN) berkata, kembara secara berbasikal dengan melalui jalan kampung lebih mudah untuk bertemu dengan masyarakat setempat.
"Apabila kami bertemu dengan orang ramai, kami akan bawakan mesej merdeka kepada mereka. Alhamdulillah, setakat ini sambutan baik diterima oleh orang ramai yang ditemui di sepanjang perjalanan kami.
"Kami juga amat berterima kasih kepada orang ramai yang sudi membantu kami seperti menyediakan tempat berteduh dan bermalam, makan dan minum. Jasa anda semua yang menyokong Kembara Merdeka 2020 amat bermakna buat kami.
"Doakan kami berjaya menghabiskan pengembaraan seterusnya pulang ke pangkuan keluarga,” katanya.