PERNAHKAH anda mengalami keadaan seperti ini. Anda sedang mencari parkir di pusat membeli-belah, sekali ternampak satu petak kosong tetapi tidak dapat meletakkan kenderaan anda.
Kegagalan itu berpunca daripada perbuatan individu lain yang meletakkan kenderaan terkeluar dari kotak parkir, ada yang meletakkan troli barang di tengah-tengah parkir kosong dan tidak kurang juga yang meletak kenderaan terlalu rapat dengan kereta lain di sebelahnya.
Mungkin niatnya tidak mahu pemilik kenderaan lain mencalarkan badan kenderaan, tetapi adakah individu tersebut sedar tentang sikapnya itu?
Adakah hanya kenderaannya tidak boleh tercalar tetapi kenderaan orang lain bukan hal penting.
Merak Jalanan berani jamin, majoriti pembaca Sinar Harian adalah pemilik kenderaan dan biasa berdepan dengan situasi itu.
Sikap pemilik kenderaan yang mementingkan diri bukan setakat itu sahaja. Sering kali Merak Jalanan perhatikan ia berlaku di sebuah pasar raya keluarga di pinggir Shah Alam.
Secara terang-terangan pengurusan premis pasar raya menandakan parkir khas buat ibu bapa yang mempunyai anak kecil di kawasan paling hadapan pintu masuk. Namun, masih ada pemandu yang memandu berseorangan menggunakan parkir itu.
Pernah Merak Jalanan melihat seorang ibu yang sarat mengandung terpaksa menolak troli barang sambil anak kecilnya duduk dalam troli menuju ke kotak parkir yang sangat jauh.
Kasihan sungguh. Tidak berapa lama kemudian, si pemilik kenderaan tadi kembali ke kenderaannya sambil bersiul.
Hati Merak Jalanan membara, terbakar dan mendidih melihat sikap orang kita. Di mana kesedaran sivik anda?
Kalau cara parkir kenderaan yang mudah pun gagal, entah bagaimana sikap mereka kepada manusia lain dan persekitarannya.