Arsenal belum cukup kuat

Iklan
Souness menyifatkan Arsenal belum cukup bersedia kembali dalam kelompok empat terbaik walaupun berjaya menjulang Perisai Komuniti baru-baru ini.

JUARA Perisai Komuniti, Arsenal disifatkan masih belum mempunyai karakter sebagai kelab yang berupaya mengakhiri saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dalam kedudukan empat terbaik.

Legenda Liverpool, Graeme Souness berkata, kejuaraan Piala FA dan trofi Perisai Komuniti dimenangi skuad kendalian Mikel Arteta itu masih belum mampu meletakkan kelab London Utara berkenaan dalam kelompok empat terbaik.

Iklan
Iklan

"Jika kita tengok ramai membuat andaian bahawa Arsenal mampu menyerlah musim ini berdasarkan dua trofi dimenangi sebelum ini, tetapi saya tidak melihat The Gunners cukup kuat untuk mengancam kedudukan empat terbaik apatah lagi kejuaraan liga.

"Realistiknya saingan musim ini dijangka lebih sengit dengan Chelsea antara kelab yang paling agresif berbelanja besar dengan membeli Timo Werner, Hakim Ziyech dan Kai Havertz.

Iklan

"Manchester United pula seperti diketahui konsisten dalam proses pembentukan skuad bagi jangka panjang. United mampu memberi impak positif biarpun dibarisi pemain muda seperti Donny van de Beek, cuma masalah berkemungkinan datang dari situasi penjaga gol,” kata bekas pemain tengah The Reds itu.

Kelab London Utara itu sedang giat berusaha menjulang kejuaraan liga buat pertama kali sejak era Arsene Wenger's Invincibles pada 2004.

Iklan

Bagaimanapun The Gunners kendalian Arteta masih belum menemui formula ampuh untuk kembali disegani apabila mengakhiri saingan musim lalu pada kedudukan kelapan liga yang merupakan penamat terburuk mereka sejak 1995 ketika era George Graham.