AMBANK BizRACE fokus IR 4.0, digitalisasi dan sijil halal

Iklan
AmBank akan membantu PKS dalam proses permohonan geran MDEC bernilai sehingga RM200,000 untuk mengembangkan perjalanan digitalisasi.
REVOLUSI Industri 4.0 (IR 4.0), digitalisasi dan pensijilan halal merupakan tiga bidang difokuskan dalam AMBANK BizRACE Musim Ketiga yang dilancarkan pada Julai lalu untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengarah Urusan Perniagaan Perbankan Ambank Group, Christopher Yap berkata, ketiga-tiga trek itu akan memberi perkembangan kepada para peserta serta panduan untuk memohon pelbagai geran dan sijil kerajaan yang tersedia untuk PKS hari ini.

Menurutnya, rakan korporat AmBank iaitu Bosch Rexroth, Microsoft Malaysia, Maxis dan PwC Malaysia akan menyediakan sokongan berkaitan dalam proses ke arah menerapkan IR 4.0, digitalisasi dan mendapatkan pensijilan halal.

Iklan
Iklan

"IR 4.0 disasarkan kepada perkhidmatan berkaitan pembuatan. Ia sesuai untuk PKS yang ingin mempunyai kawalan dan pemahaman lebih baik mengenai pembuatan dengan memanfaatkan data untuk meningkatkan produktiviti serta proses, selain mendorong pertumbuhan.

"Kesalahfahaman dalam kalangan PKS ialah IR 4.0 sangat mahal dan itulah sebabnya sebagai bank, kami benar-benar berhasrat untuk melampaui pembiayaan. Kami melihat bagaimana dapat menolong mereka memanfaatkan geran kerajaan yang tersedia,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan
Christopher Yap

Beliau berkata, dari segi digitalisasi, AmBank akan membantu PKS dalam proses permohonan geran MDEC bernilai sehingga RM200,000 untuk mengembangkan perjalanan digitalisasi, manakala Halal Quest membolehkan PKS mengembangkan peluang perniagaan melalui menerusi pensijilan halal.

AMBANK BizRACE Musim Ketiga akan berlangsung dari September 2020 hingga Mac 2021 dan selain panduan untuk permohonan geran dan pensijilan halal, pertandingan itu turut menawarkan hadiah lain yang bernilai sehingga RM2 juta merangkumi program latihan pembangunan eksklusif serta pendedahan media.

Iklan

AMBANK BizRACE dijayakan dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Penyertaan bagi program berbentuk pertandingan perniagaan yang membawa tema The Big Reset: Revive Your Business itu dilanjutkan sehingga 18 September ini.

Pemilik perniagaan boleh mendaftar dan mendapatkan maklumat lanjut di www.ambankbizclub.com.