BERAKSI buat julung kali di permukaan baharu Litar Misano pada Grand Prix (GP) San Marino hujung minggu ini disifatkan sebagai cabaran baharu buat dua pelumba Moto2 Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Xavi Vierge and Jake Dixon.
Vierge berkata, dia masih belum memiliki pengalaman berlumba di atas permukaan sedemikian sebelum ini biar pun mengetahui mengenai selok-belok litar berkenaan.
Bagaimanapun menurutnya, Misano adalah litar yang agak sukar kerana melibatkan pertukaran arah selain memiliki bahagian yang memerlukan pelumba untuk menunggang dengan 'perlahan' dan menunggang dengan 'laju'.
"Anda perlu benar-benar fokus pada perlumbaan kerana ada bahagian litar yang menjadikan tunggangan lancar selain memerlukan anda 'menyerang' litar berkenaan.
"Apa pun, perkara paling penting adalah kami masih belum sempat menguji permukaan baharu di litar ini dan kami memang tidak tahu bagaimana keadaannya yang sebenar.
"Oleh itu, kami perlu berhati-hati pada sesi pertama, mencari keserasian dengan jentera masing-masing dan mencari lorong yang terbaik bagi memperoleh catatan masa yang baik pada sesi kelayakan nanti," katanya yang menamatkan perlumbaan pada GP Styrian 23 Ogos lalu pada kedudukan kelapan.
Pelumba Sepanyol itu yang berada pada kedudukan ketujuh dalam siri Kejuaraan Dunia dengan 46 mata setakat ini, berazam untuk memperbaiki keputusan sekali gus meraih mata bagi mengukuhkan kedudukannya.
Sementara itu rakan sepasukannya, Jake Dixon berkata, biarpun pernah berlumba di Misano tahun lalu, ia bukanlah ukuran kerana kali ini dia turut menggunakan jentera yang berbeza.
Justeru katanya, dia menyasarkan untuk memastikan dirinya mampu menamatkan perlumbaan pada kedudukan 10 hingga 14 pada GP kali ini.
"Sasaran saya tidak berubah iaitu untuk menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-10 dan ke-14 sehinggalah kami berjaya berada dalam senarai sepuluh pelumba terbaik.
"Oeh itu, saya tidak sabar untuk berlumba hujung minggu ini dan seterusnya mendapatkan keputusan yang diinginkan," katanya.