TASIK SHAVER - Ratusan buah rumah dan lima bandar musnah akibat kebakaran hutan di barat Amerika Syarikat (AS) semalam ketika seorang pegawai memberi amaran tentang potensi akan berlakunya kematian akibat bencana tersebut.
Sekurang-kurangnya lima buah bandar musnah di Oregon semasa operasi perpindahan dilakukan di negeri-negeri barat laut, kata Gabenor Oregon, Kate Brown.
"Kami menjangkakan melihat satu kerugian yang besar sama ada binaan dan nyawa manusia.
"Ini akan menjadi kehilangan teramai nyawa manusia dan hartanah berikutan kebakaran hutan dalam sejarah negeri ini," katanya pada sidang media.
Bersama dengan negeri jiran California dan Washington, Oregon berusaha menghalang kebakaran hutan itu sejak minggu lalu berikutan cuaca terlalu panas yang tidak pernah berlaku diikuti dengan tiupan angin.
Dua orang dilaporkan meninggal dunia di wilayah Santiam Canyon kira-kira 96.56 kilometer dari selatan Portland.
Jody Evans iaitu seorang penduduk di Detroit, salah sebuah bandar yang musnah di Oregon bertindak melarikan diri dari rumah semasa kebakaran itu berlaku.
"Api datang dari kedua-dua arah, pokok tumbang, tiupan angin, abu berterbangan. Ia seolah-olah memandu melalui neraka," katanya kepada Newschannel 21.
Sementara itu di California, sekurang-kurangnya lapan orang meninggal dunia akibat kejadian tersebut.
Penduduk di kawasan Teluk San Francisco menyaksikan langit berwarna oren disebabkan oleh asap kebakaran hutan yang menghalang sinaran cahaya matahari.
Gambar di tempat kejadian itu terutamanya di langit San Francisco yang sesuai untuk adegan dalam filem fiksyen sains telah tersebar dengan cepat di media sosial.
Kebakaran hutan merebak pada minggu lalu yang menyaksikan suhu mencecah sehingga 49 darjah Celsius di daerah Los Angeles. - AFP