ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor sudah menyerahkan kertas kerja dan prosedur operasi standard (SOP) kepada Kementerian Luar Negeri dalam usaha mempercepatkan pembukaan sepenuhnya sempadan Malaysia-Singapura.
Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, diharap usaha tersebut akan dipertimbangkan dan ditambah baik kerajaan Persekutuan sekali gus mendapat persetujuan kedua-dua negara.
"Seramai 8,270 individu telah menggunakan kemudahan Pengaturan Ulang-Alik Berkala (PCA) dan seramai 327 individu telah menggunakan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) untuk rentas sempadan Malaysia-Singapura sehingga 31 Ogos lalu.
"Saya yakin sekiranya PCA dan RGL yang diperkenalkan sejak 17 Ogos lalu berjaya, kerajaan Persekutuan akan membuka sempadan Johor-Singapura dengan SOP yang terancang dan berkesan dalam menangani penularan koronavirus (Covid-19)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan lisan bagi menjawab soalan dikemukakan Chen Kah Eng (Stulang- PH) pada Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di sini hari ini.
Terdahulu Kah Eng mengemukakan soalan mengenai bilakah pintu sempadan Malaysia-Singapura akan dibuka semula agar ekonomi dapat dipulihkan.
Mengulas lanjut Hasni berkata, kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dapat berulang-alik.
"Dianggarkan lebih 50 peratus daripada perbelanjaan pelancong asing merupakan penyumbang utama sektor perniagaan di Johor.
"Kerajaan negeri sentiasa komited untuk memikirkan pelbagai langkah yang terbaik bagi menyelesaikan perkara-perkara yang melibatkan isu sempadan di Malaysia (Johor) dari Singapura," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Imigresen sedia buka sempadan Malaysia-Singapura