PUTRAJAYA - Seramai tiga pegawai imigresen direman selama lima hari selepas disyaki menerima wang suapan bagi mempercepatkan proses pengeluaran pas kepada warga asing untuk kembali ke negara asal tanpa melalui Sistem Temujanji Online (STO).
Perintah reman bermula hari ini sehingga 14 September 2020 itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Iklan
Iklan
Menurut sumber, ketiga-tiga pegawai imigresen berusia antara 33 hingga 35 tahun itu ditahan pada jam 12 tengah hari hingga 5.50 petang, ketika hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya semalam.
"Kegiatan tersebut dipercayai telah beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang mana pegawai imigresen terbabit berurusan dengan orang tengah bagi menguruskan pengeluaran pas bagi warga asing yang tinggal melebihi tempoh di negara ini untuk kembali ke negara asal mereka," katanya.
Menurutnya, sebagai balasan, pegawai imigresen itu disyaki mengambil suapan antara RM300 hingga RM500 bagi setiap pas yang telah dikeluarkan tanpa melalui STO.
Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan penahanan tersebut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009," katanya.