SHAH ALAM - Kerajaan Selangor digesa tidak memberi sebarang tempoh kepada mana-mana pemilik kilang haram bagi melaksanakan pemutihan premis masing-masing.
Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, kilang-kilang tidak berlesen dan masih beroperasi dalam jarak radius dua kilometer dari sungai wajar dihentikan operasi dengan segera.
Beliau berkata, kerajaan Selangor juga perlu menyenaraikan jumlah kilang-kilang yang tidak berlesen dan masih beroperasi dalam negeri ini.
"Rakyat ingin tahu berapa jumlah kilang haram yang masih beroperasi dan kerajaan negeri perlu memberi penjelasan berhubung perkara ini," katanya.
Jamal berkata demikian kepada pemberita sewaktu hadir ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) hari ini bagi menyerahkan kertas cadangan dalam memastikan pemeliharaan sungai kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Jamal hadir bersama peralatan mandi yang digunakannya sewaktu demonstrasi tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, kehadiran beliau dihalang sekatan polis dan tiada wakil Pejabat Menteri Besar menerima kertas cadangan tersebut.
Sebelum ini, Amirudin turut memaklumkan kerajaan Selangor akan meneruskan program pemutihan kilang haram yang dijalankan sejak tahun 2008 lalu sehingga akhir tahun ini sebagai usaha untuk memelihara kawasan sungai di negeri ini.
Dalam pada itu, menerusi cadangan berkenan, Jamal turut meminta supaya Mahkamah Khas Pencemaran diwujudkan bagi mendakwa penjenayah alam sekitar dengan hukuman berat.
"Penjenayah alam sekitar yang melakukan pencemaran perlu terus ditangkap dan dipenjarakan pada masa akan datang," katanya.