JELI - Seramai 500 keturunan Tok Nor dan Tok Mek Noh berjaya dikumpulkan dalam tempoh dua minggu hanya dengan kemudahan aplikasi WhatsApp.
Pengerusi Jalinan Kasih Ummah Keluarga Tok Nor dan Tok Mek Noh, Kahar Ismail berkata, selain menjejaki secara terus dari rumah ke rumah, pihaknya banyak bergantung kepada aplikasi WhatsApp lebih-lebih lagi melibatkan sanak saudara di luar negeri ini.
"Memang WhatsApp banyak membantu menjayakan majlis kami, agak mustahil untuk kami jejak 500 ahli keluarga Tok Nor dan Tok Mek Noh dalam masa dua minggu.
"Lebih-lebih lagi ini pertemuan pertama kami, tapi disebabkan WhatsApp kehadirannya di luar jangkaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Kahar berkata, keturunan Tok Nor dari generasi pertama hingga keempat berjaya dikumpulkan dalam majlis berkenaan yang turut menumbangkan dua ekor lembu untuk hidangan tetamu.
"Alhamdulillah kita mendapat kerjasama yang baik daripada semua sama ada yang menetap di Thailand, Kuala Lumpur, Terengganu, Pahang, Kedah, Johor dan seluruh pelosok negeri ini.
"Semuanya memberikan komitmen baik sekali gus membolehkan perjumpaan ini berlangsung dengan jayanya,” katanya.
Kahar berkata, pihaknya berhasrat menjadikan perjumpaan itu rutin tahunan mereka.