Rumah dipecah masuk empat suspek bersenjata

Iklan
Keadaan di dalam bilik yang berselerak akibat dipecah masuk empat suspek pagi tadi.

KUALA LUMPUR - Satu keluarga berdepan detik cemas apabila rumah mereka dipecah masuk empat orang lelaki bersenjatakan parang dan batang besi di Taman Mastiara, di sini pagi tadi.

Adik mangsa, Muhammad Ridwan Basir Ahmad, 24, berkata, ketika kejadian pada jam 4 pagi, empat lelaki telah memecah masuk melalui tingkap tepi rumah dua tingkat itu.

Iklan
Iklan

"Abang bersama kakak ipar dan lima orang anaknya berusia setahun hingga sembilan tahun tidur di tingkat atas rumah itu," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian hari ini.

Muhammad Ridzwan berkata, abangnya terjaga daripada tidur apabila terdengar kakak ipar menjerit setelah melihat suspek berada di dalam bilik.

Iklan

"Salah seorang daripada suspek telah memukul abang saya di kepala, kaki dan tangannya," katanya.

Muhammad Ridwan berkata, suspek juga memaksa abang dan kakak iparnya menutup kepala dengan kain.

Iklan

"Suspek mengacukan parang dan memaksa abang serta kakak ipar memberitahu tempat simpanan wang tunai dan barang kemas," katanya.

Dia berkata, dua suspek menggeladah di tingkat bawah, manakala seorang lagi menggeledah di dalam bilik di tingkat atas.

"Suspek melarikan barang kemas seperti rantai, gelang, subang, cincin yang bernilai RM70,000, televisyen, wang tunai RM2,000 dan AS$300," katanya.

Muhammad Ridzwan berkata, abangnya telah menghubunginya bagi memaklumkan mengenai kejadian itu.

"Abang saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Sentul, kini dia sedang menjalani rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur," katanya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner, S Shanmugamoorthy Chinniah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes sedang disiasat.