KUALA LUMPUR - Pasukan bomba menyelamatkan sepuluh penduduk di Jalan Gurney Kiri, Jalan Semarak dan lima penduduk di Kampung Periuk Kampung Bharu di sini yang terperangkap dalam banjir kilat yang melanda ibu kota hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur memaklumkan, laporan kejadian pertama membabitkan Jalan Gurney Kiri dan Jalan Semarak diterima jam 5.26 petang seterusnya menghantar lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kesemua mangsa yang terperangkap di dalam rumah itu berjaya dibawa keluar dalam keadaan selamat.
"Paras air mencecah hingga tiga meter dan surut berperingkat sebelum keadaan kembali terkawal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Lembah Klang dilanda banjir kilat
Sementara itu, dalam kejadian di Kampung Bharu, kenyataan itu menyebut seramai lima mangsa dibawa keluar dari rumah masing-masing menggunakan bot penyelamat selepas paras air mencecah satu meter.
"Laporan kejadian diterima jam 4.53 petang sebelum pasukan dari BBP Jalan Tun Razak tiba jam 5.21 petang.
"Pusat pemindahan banjir dibuka di Kelab Sultan Sulaiman di sini bagi menempatkan mangsa banjir," katanya.