KAJANG - Kekerapan ibu enam anak mengunjungi Pusat Khidmat Dun Sungai Ramal untuk memohon bantuan akhirnya menarik Adun Sungai Ramal, Mazwan Johar meninjau rumah wanita itu.
Ternyata, kehidupan mereka serba daif dan memerlukan perhatian masyarakat.
Mazwan berkata, wanita itu dikenali sebagai Suriyawatinor.
"Saya tergerak hati melawat keluarga ini selepas Suriyawatinor selalu datang meminta bantuan. Kita sudah hulurkan sumbangan namun hati kecil ini meruntun untuk melihat sendiri keadaan kehidupan keluarga ini,” katanya.
Menurutnya, wanita berkenaan menyewa sebuah rumah di Sungai Chua dan dimaklumkan bayarannya juga tertunggak manakala semua anaknya masih kecil.
"Salah seorang anak perempuannya kini sedang belajar dalam Tahun 6 di sebuah sekolah berprestij di Hulu Langat iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Convent Kajang,” katanya melalui Facebooknya.
Menurutnya keluarga tersebut sanggup berusaha meminta ehsan sumbangan supaya anak yang menjadi harapannya itu berjaya dalam pelajaran.
"Saya menilai keluarga ini tergolong sebagai fakir miskin. Mereka telah memohon bantuan pusat zakat dan katanya sedang menanti permohonan diproses,” katanya.
Menurut Mazwan, pihaknya dimaklumkan mata pencarian keluarga itu terputus apabila ruang niaga kecil di sebuah masjid tempat mereka berniaga secara kecil-kecilan ditutup pihak masjid.
Bagaimanapun katanya, ruang niaga itu akan dibuka semula setelah selesai proses saringan dan undian untuk memilih senarai peniaga baharu tahun ini.
"Saya harap dan berdoa mereka berjaya mendapat satu lot ruang niaga di sana dan rezeki keluarganya bertambah baik,” katanya.
Mazwan bersyukur dan lega kerana tidak melengahkan masa untuk menziarahi keluarga itu.
Pada pertemuan itu, Mazwan menyerahkan bantuan daripada Pejabat Adun berjumlah RM300 bagi meringankan beban wanita berkenaan.