GOMBAK - Cerun setinggi kira-kira 20 meter di Jalan Harmonis, Kampung Tengah di sini runtuh hampir menghempap struktur rumah penduduk hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.57 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang tiba 24 minit kemudian.
Iklan
Iklan
Sebaik tiba di lokasi kejadian, katanya, anggota mendapati runtuhan tersebut telah terkena tebing belakang rumah penduduk.
"Runtuhan bagaimanapun tidak melibatkan struktur bangunan dan tiada mangsa terlibat.
"Kejadian kemudian diserahkan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk tindakan selanjutnya," katanya di sini hari ini.
Hafisham berkata, komander operasi telah mengarahkan kerja pemantauan dilakukan di kawasan tanah runtuh dilakukan sebelum operasi ditamatkan jam 5.48 petang.
Terdahulu, kawasan sekitar Lembah Klang mengalami hujan lebat berterusan yang turut menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat; antaranya Masjid Jamek, Kampung Bharu, Jalan Semarak dan Genting Klang.